Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Saturday 15 November 2014

Teguran Najib Perlu Diteladani Ahli UMNO




Teguran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Umno Selangor baru-baru ini perlu dijadikan peringatan untuk semua jentera parti di seluruh negara agar terus memenangi hati rakyat, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno  Senator, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, anggota Umno juga perlu menangani cabaran luar dengan terus bergerak memberi pelbagai penerangan kepada rakyat supaya para pengundi khususnya pengundi atas pagar yakin terhadap Umno.

Beliau berkata dengan usaha kerajaan dalam melaksanakan pelbagai transformasi bagi memacu pembangunan negara,  tiada sebab untuk rakyat tidak menyatakan sokongan berbelah-bahagi terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Sekiranya Umno dan BN kalah pada PRU14, maka saya rasa ia sesuatu yang gelap dan malang buat orang Melayu dan negara," kata beliau kepada kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bengkel politik pada Konvensyen Umno Johor di sini, hari ini.

Pada Konvensyen Umno Selangor 1 November lepas, Najib, yang juga Presiden Umno itu memberi teguran keras kepada kepimpinan Umno Negeri Selangor kerana masih belum dapat memenangi hati rakyat dan pengundi di negeri berkenaan.

Dalam masa yang sama, Ibrahim turut mengingatkan agar ahli Umno terus menangani masalah dalaman di kalangan anggota parti dengan segera bagi memastikan parti ditunjangi orang Melayu itu memenangi PRU14 sekaligus kekal relevan.
 
Ibrahim, yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Umno berkata, kegagalan Umno dalam menangani masalah itu dibimbangi menjadikan orang Melayu tidak dapat memerintah negara ini buat selama-lamanya sekiranya parti itu dan BN kalah pada pilihan raya akan datang.

"Masalah dalaman khususnya perpaduan dalam kalangan anggota perlu diselesaikan segera dengan bermuhasabah dan bersatu padu demi parti tanpa mengambil kira kepentingan peribadi," kata beliau.

Ibrahim berkata,  sehubungan itu juga, konvensyen Umno Johor merupakan landasan terbaik untuk parti menyedari cabaran politik hari ini dan isyarat untuk anggota parti bekerja bersungguh-sungguh demi survival parti.

No comments:

Post a Comment