Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Friday 20 March 2015

Mufti Perak Tegur Pendakwah Bollywood



Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur trend aliran dakwah yang dibawa oleh pendakwah hari ini yang menjurus kepada penglipurlara sehingga ada yang digelar penceramah 'Bollywood'.
Beliau merasakan kebimbangan mengenai aliran dakwah seumpama itu di mana pendakwahnya begitu mudah mengeluarkan hukum yang kadangkala tidak memenuhi kehendak syarak.
Harussani berkata, ini mengakibatkan berlaku kekeliruan di kalangan umat Islam antara menyampaikan ilmu dengan unsur luaran dalam berdakwah yang dibimbangi tersasar daripada matlamat dakwah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Menurutnya, seperti sudah menjadi suatu keperluan semasa kepada pendakwah apabila berdakwah, nyanyian dan alunan lagu dikumandangkan, seolah-olah lagu itu satu keutamaan ketika berceramah sehingga terdapat penceramah digelar dengan gelaran tertentu seperti bollywood dan seumpamanya.
"Terdapat juga kecenderungan menyelit unsur lawak berlebihan dalam dakwah sehingga penceramah tertentu lebih dikenali dengan lawaknya ,berbanding ilmu disampaikan dan lawaknya menjadi bahan ulangan yang sering disebut-sebut berbanding isi dan kandungan ceramahnya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Islam, Ipoh pada Khamis.
Menurut Harussani, terdapat juga pendakwah yang mengambil pendekatan tidak menghormati fatwa dikeluarkan oleh institusi fatwa negeri-negeri dengan mengeluarkan kenyataan menyanggahi fatwa itu.
Katanya, ini barangkali bertujuan menimbulkan kesan segera untuk menampilkan pendakwah terbabit sebagai lebih berilmu daripada ulama dan pendakwah sedia ada.
Beliau berkata, kegopohan mengejar selain keredaan Allah ketika menyampaikan dakwah, akan menyebabkan seseorang pendakwah tidak cermat mentafsirkan al-Quran, cuai dalam menaqalkan hadis sehingga mencampur adukkan antara riwayat sahih dan tidak sahih serta membawa cerita yang tidak masuk akal.


No comments:

Post a Comment