Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Wednesday 11 February 2015

Dr Zambry Mahu UPSI Juga Tumpu Penyelidikan



Menteri Besar Perak, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir berhasrat untuk melihat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai salah satu institusi yang dapat juga menjadikan penyelidikan sebagai teras utama pembangunannya.
Menurut beliau, aspek penyelidikan merupakan asas dalam menaikkan kredibiliti dan nama UPSI sebagai universiti terulung di peringkat global kelak.
Beliau cukup berharap fokus penyelidikan dapat dijadikan sebagai budaya dalam universiti yang telah melahirkan ramai ilmuwan.
"Walau bagaimanapun,saya ingin juga mengingatkan kepada semua agar jangan terbeban dengan konsep ini kerana selain hasil penyelidikan, penyampaian akademik berkualiti oleh tenaga pengajar dan bidang kokurikulum juga harus dititikberatkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Bicara Tokoh bersempena Program Orientasi Pelajar Ambilan Februari di Auditorium Utama, UPSI,Tanjung Malim pada malam Isnin.
Dalam pada itu, Dr Zambry juga mengingatkan golongan penuntut agar sentiasa bijak dalam mentafsir ilmu yang disampaikan agar tidak tersasar daripada matlamat sebenar mereka.
Jelasnya, dengan lambakan ilmu yang berada di dunia serba moden hari ini, mahasiswa perlu bijak mengimbangkan antara yang baik dan buruk selaras dengan perkembangan minda mereka.
"Saya sedar, dalam darah muda sebegini kita sering bertanya kenapa, bagaimana dan mengapa, jadi teruskan dengan pemikiran analitikal sebegitu.
"Siapa tahu, dengan tabiat kita yang sering ingin mendapatkan jawapan dan ligat memikirkan sebarang isu, kita bakal menjadi pemimpin yang dapat menyumbangkan sesuatu yang berfaedah kepada negara satu hari nanti?", katanya sambil tersenyum kepada 556 pelajar yang khusyuk mendengar pesanan Menteri Mentor UPSI di auditorium tersebut.
Tambahnya, kerajaan negeri Perak telah meletakkan pendidikan sebagai salah satu dasar utama dalam pelan pembangunannya dan perlaksanaannya akan meliputi masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama.
Pelan induk negeri, Knowledge Based State atau singkatannya K-State, jelas Dr Zambry, akan diaplikasikan dengan menyeluruh bagi memastikan ilmu pengetahuan dijadikan sebagai teras kemajuan negeri ini.

No comments:

Post a Comment