Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Thursday 12 February 2015

Perak Keluarkan Garis Panduan Baharu Perumahan


Kerajaan negeri Perak akan mengeluarkan garis panduan baharu mengenai sektor perumahan di negeri ini, termasuk penentuan harga rumah kos rendah.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, garis panduan itu juga akan meliputi kategori rumah seperti rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah.
Menurut beliau, bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri pada dasarnya telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Lembaga Perumahan Negeri bagi mempastikan rumah-rumah yang dibina di negeri ini berasaskan kepada keperluan rakyat.
Beliau memberitahu, cadangan itu adalah hasil siri pertemuan dan perbincangan hati ke hati dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REDHA) yang turut mencadangkan beberapa penambahbaikan.
"Kita telah mencapai persetujuan, kerajaan negeri akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan dengan perkara-perkara yang dibincangkan dengan pihak REDHA," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Ipoh pada Rabu.
Dr Zambry berkata, pertemuan itu diadakan bagi mendengar dan membincangkan mengenai isu perumahan, baik dari segi harga dan juga kategorinya.
"Kita bertukar-tukar pandangan dan kerajaan mendengar pandangan yang dikemukakan dan dalam masa yang sama kerajaan turut menyampaikan pandangan tentang dasar perumahan di peringkat negeri perak dan juga di peringkat nasional kerana ia merupakan satu polisi yang perlu mengambil kira semua tahap masyarakat yang tinggal dalam negara kita dan juga dalam negeri kita," ujarnya.
Menurut beliau, pihak pemaju juga perlu faham mengapa kerajaan melaksanakan dasar rumah kos rendah walaupun dari segi harga, ia berbeza jika dibandingkan dengan dahulu.
"Untuk mengenepikan rumah kos rendah tentunya rakyat yang berpendapatan rendah tidak akan mampu untuk memiliki rumah. Kita mungkin kena memikirkan apakah kadar harga yang kos rendah, kos sederhana tinggi dan dari segi peratusan-peratusannya," kata beliau.
Dr Zambry berkata, garis panduan baharu itu turut akan mengambil kira polisi kerajaan persekutuan di samping pertimbangan kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment