KUALA
LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
bertitah kerajaan perlu meneruskan kecemerlangan pentadbiran Wilayah
Persekutuan bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Seri
Paduka bertitah kecemerlangan pentadbiran penting kerana keadaan
ekonomi peringkat global pada 2015 mungkin meruncing berikutan
penurunan harga minyak di seluruh dunia, yang akan memberi impak
langsung ke atas ekonomi negara.
“Beta
berharap dengan kecemerlangan pentadbiran ini akan memastikan
kemakmuran, kesejahteraan dan keceriaan yang berpanjangan bagi rakyat
Beta di bumi bertuah Wilayah Persekutuan.
“Oleh
itu juga, sayugia seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Wilayah
Persekutuan, untuk terus bekerja keras dan dengan penuh iltizam bagi
memakmurkan negara Malaysia yang tercinta,” titah baginda pada
majlis istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat
Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di
Istana Negara di sini, Ahad.
Turut
berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah
Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri
Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan Menteri Kabinet lain
turut serta dalam majlis yang diadakan di Balairung Seri tersebut.
Tuanku
Abdul Halim turut mengucapkan tahniah kepada pentadbiran di bawah
pimpinan Najib kerana kecemerlangan mereka dalam merancang
pembangunan dan mengurus pentadbiran di ketiga-tiga Wilayah
Persekutuan.
Dalam
pada itu, baginda menggesa semua lapisan masyarakat agar bersatu hati
dan memberi sokongan padu kepada jentera pentadbiran kerajaan dalam
menghadapi cabaran tahun ini.
Seri
Paduka juga mahu rakyat mengetepikan perbezaan kaum selain
mengeratkan lagi silaturahim tanpa mengira kaum, keturunan, agama dan
fahaman.
Mengimbas
peristiwa penting pada 2014, baginda bertitah negara telah menghadapi
pelbagai ujian tanpa diduga, termasuk pergolakan ekonomi dunia yang
memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Namun
titah Yang di-Pertuan Agong, dengan kebijaksanaan dan kecekapan
kerajaan, Malaysia telah dapat mengharungi kemelut ekonomi tersebut,
malah dapat menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang terus
memberangsangkan.
Menyentuh
tentang banjir besar yang melanda negeri-negeri pantai timur pada
penghujung 2014, baginda bertitah walaupun menghadapi kesukaran,
rakyat telah sama-sama tampil untuk menghulurkan bantuan dan
sumbangan dalam pelbagai aspek kepada mangsa banjir.
“Sesungguhnya,
Beta berasa amat simpati atas nasib yang menimpa rakyat Beta.
Namun,
Beta juga percaya, setiap daripada musibah yang berlaku itu ada
terselindung rahmat di sebaliknya,” titah Seri Paduka.
Baginda
turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri, kerajaan serta
semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir.
“Beta
amat yakin bahawa ia bukan sahaja akan mengukuhkan lagi tali
persaudaraan sesama kita, malah akan menjadikan kita lebih teguh,
lebih kuat dan sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi segala
kemungkinan yang mendatang,” titah baginda.
Kepada
penerima-penerima pingat tahun ini, baginda juga mahu mereka menjaga
maruah dan nama baik diri sewajarnya bagi mengekalkan kemuliaan dan
martabat darjah dan pingat kebesaran yang dikurniakan.
Mendahului
senarai 356 penerima pingat dan darjah kebesaran tahun ini ialah
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dianugerahi Seri Mahkota
Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Antara
penerima lain tahun ini termasuk pelakon aksi antarabangsa Jackie
Chan yang menerima Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran
Datuk.
Ketua
Biro Sarawak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Abdul Aziz Harun
turut dikurniakan pingat Ahli Mahkota Wilayah.
-mStar
No comments:
Post a Comment