Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Sunday 15 February 2015

Pemuda BN Perak Sepakat Pelihara Semangat Satu Suara


Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak hari ini mencapai kata sepakat untuk? membuat kenyataan bersama berkaitan sebarang isu berbangkit.
Pengerusi Pemuda BN Perak, Hairul Anuar Mohd Noor berkata, sebarang kenyataan yang dibuat akan dikeluarkan secara kenyataan bersama atas semangat suara pemuda BN tanpa membelakangkan mana-mana parti komponen lain.
"Pemuda BN Perak akan mengeluarkan satu kenyataan hanya selepas mendapat persetujuan dan persefahaman semua parti komponen BN, tanpa persetujuan kami secara sepakat tidak akan membuat sebarang kenyataan.
Kata sepakat ini dilihat akan lebih menjamin keutuhan dan perpaduan sesama pemuda dalam parti komponen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pemuda BN Perak dan Majlis Angkat Sumpah dan Pelantikan AJK Pemuda BN di Bangunan UMNO Negeri Perak, Ipoh pada Sabtu.
Menurut Hairul Anuar, mesyuarat pertama yang dipengerusikannya itu turut bersetuju diadakan satu retreat di kalangan semua ketua parti komponen BN.
"Kalau boleh bersama dengan bahagian untuk diadakan sesi bincang tara antara kita, gerak kerja yang perlu dilakukan pada hari ini sehingga pilihan raya umum akan datang," ujarnya.
Selain itu, katanya, mesyuarat hari ini juga mencadangkan kalau boleh nama-nama calon BN pada pilihan raya akan datang diwar-warkan lebih awal agar persiapan boleh dibuat oleh calon terbabit di kawasan masing-masing.
Menurut Hairul, Pemuda BN Perak sedang memberi fokus untuk mendekati golongan muda menerusi pelbagai program yang dirangka dan disusun bagi membolehkan turut serta membantu kerajaan dan membangunkan negeri ini.
Katanya, untuk itu Pemuda BN Perak memberi tiga penekanan untuk dibawa ke peringkat negeri iaitu mengadakan BN Youth Job Fair sama ada di peringkat negeri ataupun diperingkat zon dan daerah.
"Harapan anak muda terutama lepasan universiti amat banyak yang belum lagi bekerja dan kadang-kadang itu mereka bekerja dengan memiliki ijazah tetapi tidak setaraf dengan kerja yang mereka dapat.
"Ijazah biasanya gajinya adalah purata dalam RM2,000 ataupun RM2,500 tetapi mereka sanggup mengambil kerja sebagai kerani dengan gaji RM1,000 atas sebab kurangnya pengetahuan dimana tempat hendak mencari kerja dan lain-lain," Katanya.
Keduanya, beliau memberitahu dalam pembelian rumah anak-anak muda lepasan universiti yang baharu bekerja tidak berpeluang membeli rumah kerana harga rumah yang agak tinggi.
Hairul berkata, Pemuda BN Perak akan merancang satu mekanisma dengan kerjasama pihak swasta dan kerajaan untuk mencari satu formula terbaik sama ada pinjaman 100 peratus dan lain-lain.
Menurut beliau, penekanan ketiga ialah penglibatan anak muda dalam bidang sukan, sosial dan agama.
"Pendekatan orang muda hari ini lebih minat ke arah sukan dan sosial terutamanya sukan-sukan utama futsal, bolasepak dan lain-lain.
"Segmen agama pun kita akan cuba ketengahkan maknanya kita cuba merangkumi pelbagai aspek dan harapan orang muda dalam semua bidang," kata Hairul Anuar.

No comments:

Post a Comment