Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Tuesday 10 February 2015

Perak Lulus Insentif Baharu Galak Penubuhan Kawasan Industri


Menyedari akan kepentingan pelaburan dalam penjanaan ekonomi Perak, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif meluluskan beberapa insentif baharu kepada pemaju-pemaju asing dan tempatan yang berminat dalam menubuhkan kawasan perindustrian baharu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya sentiasa mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam menyokong pembangunan perindustrian di negeri ini dalam usahanya menjadi negeri yang berfokuskan kepada pelaburan bertaraf antarabangsa.
Justeru itu, kata beliau, melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan( MMK) pada penghujung Januari lepas, pihaknya telah bersetuju untuk menawarkan beberapa insentif bagi menarik minat pemain industri dari dalam dan luar negara.
Menurut beliau, antara insentif yang ditawarkan adalah membenarkan pemaju asing dan tempatan memegang ekuiti majoriti sehingga 100 peratus dalam projek pembangunan kawasan perindustrian di samping membenarkan mereka menguruskan kawasan sebagai 'park manager'.
"Selain itu, kita akan mengenakan kos premium tanah secara harga nominal untuk kesemua pemaju yang berminat, malah melewatkan pembayaran cukai tanah dan cukai taksiran kepada pemaju sehingga tapak tersebut dipindahmilik sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang dihadiri oleh kakitangan InvestPerak Malaysia di Bilik Mesyuarat 1B, Aras 1, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada petang Selasa.
Tambahnya, pelbagai lagi insentif turut ditawarkan dan ianya merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri dalam mencapai sasaran sumbangan sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar( KDNK) sebanyak 25 peratus menjelang 2020.
Zahir berkata, terdapat 70 kawasan perindustrian telah dikenalpasti di seluruh negeri Perak dan sebanyak 60 peratus telah beroperasi sepenuhnya manakala selebihnya masih memerlukan pemain indsutri yang berminat.
Berkenaan dengan soal kemahiran yang diperlukan dalam industri pembuatan dan perkilangan misalnya, Zahir berkata, Perak mempunyai prasarana pusat latihan kemahiran bertaraf professional yang mampu melahirkan tenaga kerja yang diperlukan baik di peringkat global dan glokal.
"Kita mempunyai 10 buah Kolej Vokasional Teknik yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia tahap 4, setaraf dengan kelulusan Diploma, oleh sebab itu saya yakin tiada sebarang masalah dari segi penyediaan kemahiran dan tenaga kerja dari negeri kita sendiri," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment