Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Monday 4 May 2015

4,339 Peminjam Pengajian Tinggi Bakal Disenarai Hitam





Kerajaan Perak akan menyenaraikan 4,339 nama peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Anak Perak (PPTAP) di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Credit Tip Off Service Sdn. Bhd (CTOS) jika mereka gagal membayar semula pinjaman itu dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, tindakan tegas itu terpaksa diambil kerana jumlah tunggakan pinjaman ketika ini hampir mencecah RM 22 juta.
Menurut beliau, jumlah kutipan balik pinjaman itu tahun lalu tidak memberangsangkan iaitu sebanyak RM 2,000,368.
"Malah ada peminjam yang tidak bayar balik sehingga 15 tahun selepas tamat belajar," tegasnya pada satu sidang media di Ipoh pada Rabu.
Menurut beliau, selain menyenarai hitam nama peminjam, kerajaan negeri turut akan mendapatkan kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menghalang peminjam tegar untuk ke luar negara selain membawa kes tuntutan ke mahkamah untuk dibacarakan.
Kata beliau, tiada rebat khas akan diberikan dan kesemua peminjam terbabit diberi tempoh selama 14 hari sebaik sahaja mendapat surat notis atau tindakan keras itu akan diteruskan.
"Kesemua tindakan ini diambil selepas Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Kupulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Perak bersidang baru-baru ini.
"Kita mohon mereka dapat membayar tunggakan pinjaman ini supaya kita dapat beri peluang menampung pinjaman pelajar-pelajar baru yang semakin hari semakin bertambah," katanya.
Namun begitu, beliau memberitahu kerajaan negeri sedia mendengar penjelasan daripada peminjam yang masih belum mempunyai pekerjaan atau gaji yang rendah.

"Kita bersedia mendengar penjelasan daripada kategori peminjam ini supaya dapat mengadakan perundingan dengan Unit Pinjaman Pengajian Tinggi Perak untuk kita buat penjadualan semula bayaran balik," jelasnya.

No comments:

Post a Comment