Memiliki
ketinggian budi, berilmu pengetahuan dan sentiasa menunjukkan buah
fikiran bernas dalam setiap titah perintah, Sultan Perak, Sultan
Nazrin Shah sentiasa meletakkan ilmu dan buku sebagai harta yang amat
bernilai dalam kehidupan baginda.
"Ilmu
itu sangat luas dan akan sentiasa ada yang baru, hanya dengan
mencintai ilmu dan buku membolehkan kita mengejar perkembangan dunia
(keep up to date)...malah dengan membaca menjadikan kita bertambah
pengetahuan seterusnya mampu membentuk etika diri yang hebat,"
titah baginda.
Sultan
Nazrin Shah bertitah demikian semasa pertemuan santai bersama
pemberita di sebuah perpustakaan peribadi milik baginda di Petaling
Jay.
Perpustakaan
peribadi itu dengan koleksi lebih kurang 30,000 buku merupakan hasil
ilham baginda sendiri dan ia juga menjadi tempat kegemaran baginda
dalam meluangkan masa lapangnya.
Sultan
Nazrin Shah bertitah kecintaan terhadap buku merupakan nilai yang
perlu ditanam dalam jiwa seseorang bermula sejak kecil sebagai benih
ilmu pengetahuan.
"Setiap
kali pergi keluar, perkara pertama yang saya cari adalah kedai buku,
saya pernah membeli buku sehingga penuh sebuah troli, malah saya
mampu habiskan sepanjang hari membaca buku, dari pagi hingga malam.
"Anak-anak
saya juga menunjukkan minat yang sama, setiap malam sebelum tidur
saya meluangkan masa membacakan buku kepada mereka, jika ada urusan
di luar saya tetap cuba balik pada waktunya dan luangkan masa membaca
bersama," titah baginda.
Baginda
bertitah membaca dan mengumpul buku telah sebati dalam jiwa baginda
sejak kecil lagi dan ini yang mendorong baginda merealisasikan sebuah
perpustakaan bagi menempatkan koleksi bacaan baginda.
"Disebabkan
buku saya terlalu banyak ia selalu bersepah di merata tempat, apabila
saya perlukan sukar untuk dicari. Saya kata pada arkitek saya bukan
mahukan perpustakaan dalam rumah tetapi rumah dalam perpustakaan (not
a library in the house but a house in the library)..begitulah
konsepnya," titah baginda.
Perpustakaan
peribadi Sultan Nazrin yang berkonsep moden kontemporari itu
memuatkan koleksi buku pelbagai genre dan antara bacaan kegemaran
baginda adalah buku ekonomi, falsafah, sejarah dan politik.
Baginda
bertitah walaupun teknologi moden berkembang pesat dengan buku boleh
dibaca atas skrin, buku mempunyai nilainya tersendiri dan merupakan
pilihan terbaik untuk diberi sebagai hadiah.
"Mungkin
saya 'old fashion', pada saya buku lebih mesra, boleh dipegang, boleh
dibelek setiap helaian, boleh ditulis nota pada permukaannya...zaman
sekarang ramai berminat membaca 'on screen', namun pada saya buku
lebih istimewa.
"Buku
merupakan hadiah terbaik untuk disampaikan (Book is always the best
gift) dan apabila saya merasakan sesebuah buku itu bagus kandungannya
saya akan membelinya lebih daripada sebuah untuk dihadiahkan kepada
orang lain," titah baginda.
Sultan
Nazrin bertitah rakyat perlu sedar akan peranan sebuah buku dan
kepentingan ilmu pengetahuan hendaklah terus disemai dalam diri
seseorang dari awal lagi agar minat membaca itu sentiasa subur.
"Berusahalah
mendisiplinkan diri untuk membaca beberapa jam setiap hari,
lakukannya secara konsisten, pupuklah minat terhadap ilmu dengan cara
yang menyeronokkan, gunakanlah apa saja medium bersesuaian asalkan
tidak berhenti mencari ilmu," titah baginda.
Antara
kegemaran lain Sultan Nazrin ialah, mengumpul manuskrip lama, lukisan
daripada pelukis tempatan serta menulis, baginda juga berhasrat
membuka sebuah galeri foto peribadi di Kuala Kangsar atau di Ipoh,
Perak. -
No comments:
Post a Comment