Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Thursday 23 July 2015

Desak Penubuhan Tribunal Antarabangsa Untuk Pembelaan MH17



BATU KURAU: Kerajaan akan tetap mendesak untuk menubuhkan tribunal antarabangsa bagi membawa penjenayah yang bertanggungjawab menembak jatuh kapal terbang Malaysia Airlines (MH17) ke muka pengadilan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, beliau akan berlepas ke New York pada Isnin depan supaya tuntutan Malaysia berhubung perkara tersebut dapat diterima oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Saya akan ke New York pada Isnin ini di atas resolusi yang Malaysia bawa untuk menentukan bahawa tribunal antarabangsa bagi MH17 dapat diterima oleh UNSC.
“Saya yakin bahawa ramai rakyat dunia hari ini mahu melihat sesiapa yang melakukan kesalahan menembak jatuh pesawat malang itu akan dihukum,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Larut Matang dan Selama, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan bermula pada 29 Julai depan dan beliau yakin bahawa penjenayah yang menembak jatuh pesawat itu akan didakwa.
Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai telah ditembak jatuh di ruang udara Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu dan telah mengorbankan 298 penumpang termasuk anak kapal.
Terdahulu, Duta Rusia di Malaysia, Valery Yermolov berkata, tidak terdapat kes duluan bagi menubuhkan tribunal antarabangsa untuk membawa pihak yang bertanggungjawab menjatuhkan pesawat malang itu ke muka pengadilan.
Malaysia telah membentangkan  draf resolusi kepada UNSC untuk menubuhkan tribunal pengguna serta telah mendapat sokongan daripada beberapa buah Negara termasuklah Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine.
Bagaimanapun, Rusia telah menolak draf tersebut dan kemudiannya mengemukakan draf resolusi alternatif kepada UNSC bagi menghalang penubuhan tribunal yang akan membawa penjenayah yang menembak jatuh MH17 ke muka pengadilan.

No comments:

Post a Comment