IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menghadiri majlis berbuka bersama rakyat dan seterusnya merasmikan Masjid Al-Ansar di Halaman Meru Impian di sini, hari ini.
Baginda yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,seterusnya berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 rakyat jelata.
Berkenan berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, dan Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.
Terdahulu, baginda yang lengkap berbaju berwarna ungu berkenan menyempurnakan simbolik perasmian masjid itu dengan pembukaan tirai tertera nama masjid serta bacaan doa.
Baginda kemudiannya menunaikan solat Maghrib di masjid tersebut.
Turut hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Puhat Mat Nayan dan barisan exco kerajaan negeri.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan hari raya bernilai RM526,200 kepada penghulu yang mewakili penduduk setempat bagi lapan mukim.
Peruntukan tersebut merupakan agihan zakat yang bakal disumbangkan kepada 2,361 penerima asnaf dan fakir miskin.
Turut disumbangkan oleh Perbadanan kemajuan negeri Perak (PKNP) sebuah van jenazah kepada pihak jawatankuasa masjid.
Sejurus selepas itu, baginda berkenan menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih.
No comments:
Post a Comment