Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Sunday 26 July 2015

Kesalahan Tatabahasa : Buat Pembetulan Segera



BATU KURAU: Buku rujukan dan latihan yang mempunyai kesalahan tatabahasa yang serius perlu ditarik semula daripada pasaran dan dibuat pembetulan dengan kadar segera.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, ianya bertujuan untuk menjaga kualiti buku pendidikan di negara ini.
“Langkah yang saya cadangkan sekiranya ia betul berlaku, tarik balik buku-buku itu dari pasaran dan buat pembetulan kemudian edarkan semula.
“Itu cara untuk kita jaga kualiti buku pendidikan kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Rumah Terbuka anjuran UMNO Bahagian Larut Matang dan Selama.
Ujar beliau lagi, sekiranya kesilapan tersebut melibatkan tatabahasa, ianya boleh membawa makna yang berbeza dan perlu dibuat pembetulan.
Amin turut berkata, Lembaga Penapisan yang terdiri daripada beberapa pakar perlu terlibat dalam menyediakan buku latihan yang akan digunakan oleh pelajar.
“Sebelum kita edarkan di pasaran, ia mesti melalui Lembaga Penapisan yang terdiri daripada pakar-pakar seperti pakar isi kandungan, pakar bahasa dan juga pakar pendidikan.
“Pihak tersebut perlu memainkan peranan untuk memastikan kesilapan yang berlaku dalam buku latihan yang digunakan pelajar sekolah tidak berulang sekali lagi,” tegasnya.
Terdahulu, laporan Mstar pada Rabu lalu melaporkan terdapat penggunaan tatabahasa yang serius dalam beberapa buku latihan bagi subjek Sains dan Matematik.
Salah satu contoh yang paling ketara dapat ditemukan dalam sebuah buku rujukan Sains bagi kegunaan pelajar Tingkatan Tiga.
Pada bahagian penutup buku tersebut turut dinyatakan bahawa kandungan buku tersebut diambil daripada soalan sebenar daripada kertas ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga 2014 dan telah mendapat kebenaran daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Seorang pengurus syarikat penerbitan, Mohd Sharizan Walat mengesahkan bahawa soalan itu diambil secara terus daripada soalan peperiksaan awal dan pihaknya hanya mengatur semula soalan-soalan tersebut sebelum dicetak.
Katanya lagi, kesilapan tatabahasa tidak seharusnya berlaku kerana soalan yang dicetak merupakan salinan langsung daripada soalan asal dalam kertas ujian 2014.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, P. Kamalanathan berkata, penerbitan swasta tidak terletak di bawah kementerian tersebut.
Katanya lagi, kementeriannya juga tidak memberi lesen kepada penerbitan swasta bagi menerbitkan buku rujukan.
“Kadang-kadang penerbit hanya mengambil sebahagian maklumat daripada kertas peperiksaan tanpa asal tanpa memeriksa dengan teliti,”katanya.
Kamalanathan turut berkata, kementerian tidak dapat membuat pemeriksaan ke atas penerbit swasta dan guru-guru, ibu bapa serta pelajar bebas untuk memilih buku latihan yang mereka mahu gunakan.

No comments:

Post a Comment