Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Wednesday 15 July 2015

Henti Sebar Fitnah, Istiqamah Dalam Ibadat – Najib



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak orang ramai untuk berhenti daripada menyebarkan fitnah, terutamanya di bulan Ramadhan dan terus beristiqamah dalam melakukan ibadat.
“Di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita semua berhenti menyebarkan fitnah dan kebencian serta terus beristiqamah melakukan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir.
“Mohonlah agar dosa kita diampunkan dan bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan keberkatan malam istimewa ini kerana ia mungkin malam Lailatul Qadar kita yang terakhir,” katanya menerusi catatan terbaharu di blognya, najibrazak.com.
Ujarnya lagi, malam Lailatul Qadar adalah malam yang amat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam kerana ianya merupakan malam yang penuh rahmat dan mempunyai nikmat besar daripada Allah SWT.
“Pada malam tersebut, kita dijanjikan ganjaran pahala ibadat yang berlipat ganda seperti yang digambarkan dalam maksud firman Allah dalam Surah Al-Qadr, ‘Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan,”tulisnya.
Beliau turut menegaskan bahawa seluruh umat Islam perlu melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana diberikan nikmat untuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment