Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Tuesday 7 July 2015

Dua Cara Memahami Inti Pati Al-Quran – Sultan Nazrin



GERIK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, terdapat dua cara untuk umat manusia memahami inti pati ayat suci al-Quran, iaitu penguasaan bahasa Arab dan juga menterjemahkan ayat Al-Quran ke bahasa lain.
Titah Baginda, terjemahan Al-Quran membolehkan lebih ramai manusia di luar dunia Arab dapat lebih memahami dan menghayati inti pati ayat-ayat suci tersebut.
“Insan yang memahami kandungan Al-Quran akan dapat menghayati kehebatan Islam sebagai agama yang syumul, menyeluruh lagi sempurna, menganjurkan keadilan, kesaksamaan, perdamaian dan kesederhanaan,” titah Baginda ketika merasmikan Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran Pondok Air Jernih, di sini.
Baginda bertitah lagi, sehingga ke hari ini, Al-Quran telah berjaya diterjemahkan kepada kira-hampir 130 bahasa, tetapi, ianya turut mempunyai cabaran.
“Hari ini, Al-Quran telah berupaya dicetak dengan bilangan yang lebih besar dan turut diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.
“Perkembangan ini amat menggalakkan, namun ia juga turut memberikan cabaran baru daripada segi kawalan dan pemantauan untuk memastikan kesahihan kandungan al-Quran tetap terjamin,” titah Baginda lagi.
Namun begitu, Baginda tetap yakin kesucian ayat Al-Quran akan terus terpelihara hingga ke akhir zaman.
“Allah SWT telah memberikan jaminan akan memelihara kesucian dan kemurnian al-Quran.
“Ia menurut yang terkandung dalam ayat sembilan, Surah Al-Hijr yang bermaksud ‘ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya,” titah Sultan Nazrin.
Baginda juga turut berharap agar pelajar-pelajar di Maahad tersebut berperanan untuk membantu memelihara keaslian dan melindungi kesahihan al-Quran.
“Setelah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran, anak-anak hendaklah lebih gigih lagi menerokai mukjizat yang terkandung dalam al-Quran.
“Manfaatkan akal anugerah Ilahi untuk menjadi insan yang bijaksana. Gunakanlah ilmu, akal dan kebijaksanaan untuk menjadi pemimpin ummah yang berintegriti, jujur, ikhlas dan mengabadikan sepenuh jiwa raga kepada Allah,” titah baginda.

No comments:

Post a Comment