Kerajaan
Perak mengumumkan tarikh 6 Mei sebagai hari cuti umum di negeri itu
sempena Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai
Sultan Perak Ke-35. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,
berkata kerajaan negeri sudah mewartakan tarikh berkenaan yang jatuh
pada Rabu sebagai cuti umum. Beliau mengumumkan perkara itu selepas
mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di sini, sebentar
tadi.
Pemimpin Berjiwa Rakyat
Thursday, 30 April 2015
Wednesday, 29 April 2015
Perak Giat Promosi Pelancongan Kesihatan
Kerajaan negeri Perak sedang giat dalam menerajui misi khas untuk mempromosikan industri pelancongan kesihatan (health tourism) yang dijalankan melalui kerjasama Smart Partnership 2015 bersama Sumatera Utara, Medan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, ia adalah selaras dengan penghargaan yang diterima oleh Malaysia apabila dinobatkan sebagai " Medical Travel Destination of the Year" di International Medical Travel Journal(IMTJ), Medical Travel Awards 2015 di London pada 15 April lepas.
"Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau ini di mana pelancongan perubatan dipromosikan oleh pihak kerajaan negeri dan ini secara tidak langsung memberi jaminan kepada pelawat bahawa kualiti, piawaian dan undang-undang dalam industri ini sentiasa terpelihara,"katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena program Smart Partnership Penggiat Industri Pelancongan Hospital ke Medan, Indonesia di Swissbel Hotel, Medan pada petang Selasa.
Nolee berkata, Perak menawarkan harga yang lebih kompetitif dan rendah dari segi rawatan perubatan berkualiti berbanding dengan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dan ini menjadi tarikan utama kepada masyarakat di sekitar Medan.
Jelasnya, tawaran pembiayaan harga tersebut adalah bersifat "cost-effective" dan amat berpatutan kerana ianya ditawarkan sekali denga pakej percutian berbanding dengan tempat lain.
"Dengan usahasama Medan dan Ipoh, kita akan cuba untuk mempelbagaikan pakej-pakej pelancongan seperti "Medical Tourism and Shopping,", " Medical Tourism dan Adventure,"" Medical Tourism dan Adventure, Medical Tourism dan Rejuvenation, " Gastronomy,: Golfing, dan "Culture and Heritage," katanya.
Menurutnya, rekod menunjukkan anggaran sebanyak 100 pelawat dari Medan berkunjung ke Ipoh bagi mendapatkan rawatan perubatan dan ini merupakan perkembangan yang amat memberasangkan.
"Kita mempunyai perancangan untuk menjadikan Medan sebagai "twin-city" kepada Ipoh namun ini akan diputuskan berdasarkan respon dan sambutan yang akan dinilai bersama dengan pihak pentadbiran pelancongan Medan pada masa hadapan," ujarnya.
Turut hadir, Ketua Kamar Dagang dan Industri (KADIN) Medan, Rudi Zulham Hasibun, Kepala Bidang Promosi Dinas Kebudayaan dan Pariwisata, Muchlis Nasution, Pengerusi Tourism Perak Manangement Berhad, Mohamad Kamil Shafie dan Pengarah Tourism Malaysia Medan, Nora'shikin Harun.
Lawatan selama empat hari bermula Isnin ke Medan itu disertai 62 delegasi terdiri daripada pengusaha pelancongan Perak masing-masing dalam bidang perhotelan, pengusaha produk, hospital, agensi pelancongan dan syarikat penerbangan.
Lawatan selama empat hari bermula Isnin ke Medan itu disertai 62 delegasi terdiri daripada pengusaha pelancongan Perak masing-masing dalam bidang perhotelan, pengusaha produk, hospital, agensi pelancongan dan syarikat penerbangan.
Tuesday, 28 April 2015
Program Kembara Qiam Bersama Menteri Besar
Yayasan
Pembangunan Islam Darul Ridzuan (KADIR) melaksanakan satu lagi
aktiviti tahun ini, Kembara Qiam Bersama Menteri Besar, sebagai
tambahan kepada pelbagai program yang dianjurkan sejak lebih lima
tahun lalu.
Pengerusinya,
Datuk Azhar Ahmad berkata, sebagai permulaan, program akan diadakan
di Majlis Felda Besout 1 di Daerah Batang Padang, pada 1 Mei ini.
Menurut
beliau, sekiranya tiada halangan, program itu akan diadakan dua kali
sebulan, dengan pelbagai aktiviti seperti tazkirah oleh Menteri Besar
dan pemeriksaan kesihatan.
"Buat
pertama kalinya, kita akan membawa ambulans KADIR bersama-sama
pasukan doktor sukarelawan KADIR untuk melakukan pemeriksaan
kesihatan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini pada
Isnin.
Menurut
Azhar, selain daripada tazkirah Dr Zambry yang diadakan selepas solat
Subuh, aktiviti lain yang turut diadakan ialah zikir munajat
bersama-sama anak-anak tahfiz, ramah mesra dan sarapan bersama
rakyat.
Beliau
menambah, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) juga akan
melaksanakan beberapa aktiviti seperti Kedai Bergerak 1 Amanjaya dan
penyerahan kiosk Amanjaya.
Di samping
itu, kata Azhar, Menteri Besar turut akan melakukan upacara pecah
tanah projek Dewan Semaibakti Felda Besout 2
Beliau
berharap penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut dapat
bersama-sama menghadiri program itu dan mengambil bahagian di dalam
aktiviti yang akan diadakan.
Azhar
memberitahu, selain daripada kemudahan ambulan yang bernilai
kira-kira RM200,000, KADIR juga bercadang untuk menyediakan kemudahan
van jenazah bagi memberi perkhidmatan kepada golongan yang
memerlukan.
Monday, 27 April 2015
Perak Dalam Proses Wujud DUN Belia Negeri
Kerajaan
negeri Perak kini dalam proses membuat kaji selidik tentang pewujudan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Perak.
Menurut
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pewujudan DUN Belia
Negeri Perak mengambil iktibar daripada Parlimen Belia Malaysia yang
telah ditubuhkan baru-baru ini.
Beliau
mahukan supaya DUN Belia itu nanti akan mewakili semua peringkat
belia mengikut agama dan etnik termasuk golongan orang asli, pemimpin
pelajar dan golongan profesional.
"Saya
mengharapkan ia akan menjadi satu kumpulan pemikir belia sebagaimana
yang diaspirasikan dalam Gagasan Perak Amanjaya," katanya semasa
berucap merasmikan Festival Belia Perak di Kompleks Belia dan Sukan
Negeri di Ipoh pada Sabtu.
Dr Zambry
juga mahukan supaya Festival Belia Perak 2015 itu dijadikan festival
penyerlahan bakat (Festival of Talent) yang dimulakan pada tahun ini.
Beliau
juga mahukan supaya ianya dikembangkan lagi memandangkan Perak
mempunyai ramai golongan belia yang berbakat yang perlu
diketengahkan.
Sementara
itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan
Multimedia Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika diminta mengulas
isu DUN Belia Perak berkata, beliau tidak mahu isu DUN Belia ini
dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
"Buat
masa ini kita berfikiran tidak perlu mengadakan proses pilihan raya
untuk memilih ahli-ahli DUN Belia ini tetapi cukup sekadar
majlis-majlis belia daerah menamakan wakil ataupun calon yang
difikirkan sesuai dan kita akan membuat sesi temuduga dan
sebagainya," ujarnya.
Katanya,
pihaknya akan meminta persatuan-persatuan belia OKU dan Jabatan
Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengemukakan calon-calon yang
sesuai menjadi ahli DUN Belia Negeri Perak.
"Kita
turut akan memilih calon-calon belia yang tidak berpersatuan tetapi
mereka mempunyai kumpulan dan minat yang tertentu yang perlu diwakili
menjadi ahli DUN Belia Negeri Perak," tambahnya.
Shahrul
Zaman juga berkata, sidang DUN Belia Negeri ini akan bersidang pada
tahun ini dengan diwakili seramai 63 orang ahli Dewan.
Pada
majlis itu Dr Zambry telah menyampaikan mok cek RM500,000 kepada
Majlis Belia Negeri Perak untuk tujuan pengupayaan generasi muda.
Sunday, 26 April 2015
Yayasan NAAM Bantu Belia Jana Pendapatan RM10,000 Sebulan
Seramai
109 peserta Projek Perintis Fertigasi Cili Padi seluruh negara yang
diwujudkan Yayasan New Affirmative Action Movement (NAAM) kini
memperoleh pendapatan sekitar RM 10,000 sebulan.
Timbalan
Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan berkata, pendapatan tinggi
itu seharusnya dijadikan motivasi kepada belia di negara ini untuk
menceburi bidang pertanian.
"Setiap
peserta yang menjaga satu ekar tanah dan setiap enam bulan purata
yang mampu diperolehi ialah sekitar RM 60,000 hingga 70,000.
"Ini
adalah pulangan yang cukup baik di mana belia perlu merebut peluang.
Daripada menganggur tunggu pekerjaan baik masuk bidang pertanian,"
katanya.
Menurut
Saravanan, melalui program itu kesemua peserta dibimbing oleh tenaga
pengajar yang pakar dalam bidang pertanian berkaitan cara menanam
Cili Kulai di atas sebidang tanah seluas 1 ekar bagi setiap peserta
dalam masa enam bulan.
Kata
beliau, program itu ketika ini telah memasuki fasa keduanya yang akan
melibatkan 500 peserta lagi khususnya dari golongan belia di seluruh
negara.
"Kita
akan libatkan kesemua negeri termasuk penang, selangor dan
sebagainya," ujar beliau. Beliau juga menyeru belia untuk
mendekatkan diri dengan bidang pertanian kerana ianya akan memberi
pulangan yang menguntungkan.
"Penyertaan
belia dalam sektor pertanian ketika ini memang tidak mengalakkan.
"Tapi kita kena ingat perniagaan alaf baru nanti ialah
pertanian, populasi makin bertambah tetapi bilangan petani makin
berkurangan.
"Tidak
mustahil satu hari nanti produk paling mahal ialah produk pertanian,"
jelas beliau.
Saturday, 25 April 2015
Pertunjukan Tatu Sempena Pertabalan Sultan Perak
Pertunjukan
tatu sempena Pertabalan Sultan Perak yang akan berlangsung pada 16
Mei depan di Stadium Indera Mulia, Ipoh bakal menjanjikan pengalaman
unik kepada para pengunjung.
Panglima 2
Briged, Brigedier Jeneral Mohammad Ab. Rahman berkata, pertunjukan
gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) itu akan bercirikan kenegerian Perak dan dijangka bakal
menarik lebih 20,000 pengunjung.
"Selepas
berpuluh tahun kewujudan Tatu, pada kali ini ia akan diadakan dengan
mengambil kira objektifnya iaitu sempena pertabalan Sultan Perak yang
baharu.
"Ianya
akan menyajikan persembahan lagu-lagu negeri ini, tarian kebudayaan
dan gimik pelancaran yang sangat unik daripada sebelum ini,"
katanya ketika perasmian promosi program itu di Lapang Sasar 2
Rejimen Renjer Diraja Kem Syed Putra Ipoh pada Khamis.
Beliau
menambah, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak,
Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan
itu.
Kata
beliau, antara pengisian menarik sepanjang program itu ialah
persembahan pancaragam dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta
Polis Diraja Malaysia, pertunjukkan Gimnastik Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) dan pertunjukkan kepakaran Gerak Khas ATM.
"Ianya
akan melibatkan 1,430 anggota yang akan menjayakan tatu ini termasuk
dari ATM, PDRM serta orang awam.
"Pada
14 Mei ini juga, kita sudah mulakan pameran-pameran yang melibatkan
ATM dan juga kerjaya sehingga acara kemuncak iaitu pada 16 Mei,"
ujarnya.
Tambah
beliau, pameran yang bermula 14 hingga 16 Mei itu juga akan
melibatkan pameran kesenjataan, ketenteraan dan kenderaan bersenjata.
Orang
ramai dijemput hadir ke program itu yang bermula 14 Mei ini dan acara
kemuncaknya pada 16 Mei 2015, jam 7.30 malam.
Friday, 24 April 2015
Raja Permaisuri Luang Masa Ke Program Mari Membaca Bersama
Raja
Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat melawat
Perpustakaan Awam Negeri Perak sempena program Mari Membaca Bersama
yang dijalankan serentak di seluruh negara pada Khamis.
Keberangkatan
tiba baginda diiringi Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri
Perak, Salbiah Mohamed, Yang Dipertua Negeri Perak, Datuk Seri S.K.
Devamany dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan
Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Radzi.
Dalam
lawatan itu, baginda meluangkan masa untuk Sesi Berkongsi Cerita yang
merupakan sebahagian daripada aktiviti Jom Baca Bersama bersama
murid-murid sekolah rendah dan memperdengarkan bacaan buku cerita
"Awie dan Shasha ke Sekolah" selama 10 minit kepada
kanak-kanak yang hadir.
Program
membaca 10 minit tersebut adalah inisiatif yang diterapkan oleh
negeri Perak sejak tahun 2008 sempena sambutan Hari Buku dan Hakcipta
Sedunia pada 23 April.
Dalam pada
itu, Tuanku Zara Salim turut menyampaikan hadiah kepada tiga orang
penerima Anugerah Pembaca Aktif dan melancarkan E-Library Perbadanan
Perpustakaan Awam Negeri Perak.
Baginda
kemudiannya berkesempatan meluangkan masa meninjau persekitaran
perpustakaan tersebut di samping beramah mesra bersama murid-murid
dari sekolah rendah di sekitar Ipoh.
Rata-rata
pelajar dan pengunjung dan perpustakaan berbesar hati kerana
berpeluang bersua muka dengan permaisuri kesayangan mereka yang sudi
hadir untuk menyempurnakan program bertaraf kebangsaan itu.
Justin
Chan Wei Hao, 13 tahun dan adiknya, Joan Chan She Yan, 10, merupakan
penerima Anugerah Pembaca Aktif dan ada rahsia di sebalik kejayaan
dua beradik ini disamping dorongan ibu bapa mereka.
"Setiap
minggu bapa akan temani saya dan adik ke sini, buat latihan dan kerja
sekolah. Selain itu kami turut meminjam empat buah buku setiap kali
datang ke sini. Rasa seronok dan bangga sebab dapat jumpa Permaisuri
dan terima anugerah," katanya.
Justin
berjaya menerima anugerah dengan pinjaman dan bacaan sebanyak 233
buah buku dan Joan dengan 275 buah buku.
Chang Boon
Kiat, 46 yang merupakan bapa kepada dua beradik itu berkata, galakan
perlu diberikan kepada anak-anak dalam menyatakan sokongan dari sudut
pembelajaran mereka.
"Minat
boleh dipupuk, saya akan pastikan dapat temani mereka di sini mahupun
ibu mereka. Ini penting untuk kita tunjuk keprihatinan, barulah
mereka ada semangat untuk belajar," katanya.
Thursday, 23 April 2015
Cadangan Tambah Peraturan Etika Berpakaian Dipersetujui - Speaker DUN Perak
Jawatankuasa
Perintah-Perintah Tetap yang bermesyuarat semalam bersetuju dengan
cadangan untuk menambah peraturan etika berpakaian pada istiadat
perasmian pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata
Speaker DUN Perak Datuk Seri SK Devamany.
Beliau
yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata penambahan peraturan dalam
Perkara 10, Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap DUN itu bagi
menjaga adab dan adat sebagai anggota dewan.
"Dalam
mesyuarat Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap, kami nak tukar
perkara-perkara yang kami rasakan ia perlu dikaji. Dalam peraturan
dan perintah tetap tidak memberitahu secara khusus etika berpakaian
untuk perasmian (DUN), maka kali ini kami cadang (tambah peraturan)
dan memurnikan lagi perkara itu.
"Jadi
cadangan kami ialah supaya pakaian anggota dewan sempena istiadat
perasmian persidangan DUN pertama bagi penggal baharu hendaklah
memakai pakaian 'hari kalung' (hari penuh istiadat)," katanya
pada sidang media selepas mesyuarat itu.
Beliau
berkata Perkara 10, Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap menetapkan
yang pertama, Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat
sebagaimana yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui
perisytiharan dalam Warta.
"Kedua,
mesyuarat dewan hendaklah diadakan sekurang-kurangnya tiap-tiap enam
bulan tidak melewati antara persidangan terakhir di dalam satu
penggal dan persidangan pertama di dalam penggal yang berikutnya dan
yang ketiga kami cadang untuk masukkan penambahan peraturan ini,"
katanya.
Devamany
berkata cadangan penambahan peraturan baharu itu akan dibincangkan
sekali lagi dalam mesyuarat akan datang untuk diperjelaskan kepada
pihak perundangan negeri sebelum diusul dan dibahas pada persidangan
DUN.
Peraturan
itu disyorkan berikutan tindakan 26 anggota pembangkang DUN tiba di
perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan secara berkumpulan dengan
berpakaian serba hitam bersempena istiadat pembukaan sidang DUN ke-13
pada 31 Mac lepas.
Sementara
itu, Devamany berkata Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang
berlangsung hari ini memutuskan wakil rakyat pembangkang Wong Kah Woh
(DAP-Canning) perlu mohon maaf secara bertulis berhubung isu beliau
diarah keluar Dewan pada 2 April lepas.
"Dewan
negeri akan memberi surat kepada Kah Woh dan beliau diberi tempoh 21
hari untuk menjawab surat tersebut," katanya.
Devamany
berkata sekiranya Wong tidak memberi maklum balas berkaitan surat
itu, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan bermesyuarat bagi
membincangkan tindakan yang sewajarnya perlu diambil.
"Saya
rasa perkara ini boleh diselesaikan dan tidak perlu
diperbesar-besarkan dan saya juga akan tegas dalam mengendalikan
dewan. Saya memohon semua anggota DUN termasuk pembangkang tidak
mengeluarkan kenyataan akhbar yang boleh memberi pemahaman kabur
berhubung perkara ini.
"Keputusan
ini mengikut lunas-lunas perundangan dan kami telah berbincang secara
mendalam mengenai hal ini dan keputusan telah dibuat jadi ia tidak
perlu dipanjangkan lagi," katanya.
Mesyuarat
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diadakan bagi menjelaskan beberapa
kenyataan media yang mendakwa kononnya Wong diarah keluar Dewan pada
2 April lalu selepas beliau membuat pembelaan terhadap keselamatan
anggota pembangkang.
Ia ekoran
berlaku demonstrasi di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)
pada 6 April lepas, yang didakwa boleh mengancam keselamatan anggota
sidang DUN.
Wednesday, 22 April 2015
Pertabalan Sultan Nazrin Tonjol Keunikan Istiadat Kesultanan Melayu Perak
Istiadat
pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV pada 6 Mei,
bakal menonjolkan keunikan dan kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak
yang diwarisi sejak tahun 1528, selepas Sultan Mudzaffar Shah I
dijemput memerintah Perak.
Orang Kaya
Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin
berkata meskipun pelbagai aktiviti disusun, pihaknya memberi tumpuan
kepada enam acara yang membabitkan adat istiadat pertabalan.
Jawatankuasa
yang mengendalikannya turut berpandukan kepada adat istiadat yang
berlangsung 30 tahun lepas iaitu semasa pertabalan Almarhum Sultan
Azlan Muhibbuddin Shah pada 1985.
"Perkara
mustahak yang ditumpukan ialah Istiadat Meletak Kerja pada 3
Mei...paluan nobat akan dibunyikan bersama-sama dengan 17 das
(tembakan) meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia sebagai tanda
bermulanya kerja-kerja untuk acara pertabalan," katanya dalam
temu ramah baru-baru ini.
Turut
hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Nayan
dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim. Istiadat 'Tabal
Adat' pada 6 Mei akan menyaksikan dua perkara utama iaitu
pengisytiharan pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak disusuli
dengan pemasyhuran gelaran DYMM Raja Permaisuri Perak.
Kedua-dua
pemasyhuran itu akan dilakukan oleh Mohd Zahidi dengan melaungkan
'Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku Zara
sebanyak tiga kali.
Sedikit
kelainan dalam istiadat perarakan membawa al-Quran semasa 'Tabal
Adat' Sultan Nazrin, ialah al-Quran itu akan dibaca terlebih dahulu,
sebelum diarak dan diserahkan kepada baginda.
"Sebelum
ini Tuanku ada menitahkan bahawa dalam sesuatu majlis hendaklah
diadakan bacaan al-Quran, jadi dalam majlis ini, al-Quran itu akan
dibaca.
"Sultan
Nazrin akan memegang dan mengucupnya terlebih dahulu sebelum
meletakkan kitab suci itu di tempatnya selepas diarak," katanya.
Selesai
perarakan itu, akan dituruti oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja
dengan membacakan pengisytiharan pertabalan, dan menyerahkan Pedang
Cura Si Manja Kini kepada Sultan Nazrin.
"Di
Perak, kami tidak mempunyai mahkota dan kami menggunakan pedang ini
sebagai simbolik penyerahan kuasa raja kepada Tuanku dan Tuanku akan
mencabut pedang itu serta dicium sebelum Bendahara melaungkan 'Daulat
Tuanku'.
"Pada
masa yang sama nobat akan dipalu disertai tembakan meriam sebanyak 21
das," katanya.
Sultan
Nazrin juga akan memeriksa kawalan kehormatan pada sebelah pagi di
Dataran Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan diiringi paluan
nobat dan 21 das tembakan meriam.
Acara
utama ketiga akan berlangsung pada sebelah pagi 7 Mei, iaitu istiadat
mengambil air dari tujuh kuala sungai yang telah dinamakan, untuk
'Adat Bersiram Tabal'.
Mohd
Zahidi berkata, acara keempat, istiadat 'Tabal Pusaka', iaitu upacara
penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan
Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin, akan berlangsung pada
sebelah malam.
"Yang
kelima ialah istiadat menziarah makam. Ini adalah satu daripada adat
yang memerlukan sultan yang dilantik, selepas ditabal adat dan juga
ditabal pusaka, akan menziarahi makam Almarhum sultan-sultan
terdahulu," katanya.
Istiadat
menziarah makam ini akan bermula pada 8 Mei yang menyaksikan Sultan
Nazrin dan Tuanku Zara berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati,
Kuala Kangsar.
"Oleh
kerana pembangunan di negeri Perak, sebahagian daripada makam ini
boleh diziarahi dengan menggunakan pengangkutan darat. Oleh itu,
jawatankuasa mengekalkan sebahagian daripada istiadat ini untuk
menggunakan rakit dikenali sebagai 'Balai Gambang', yang menyaksikan
Tuanku menziarah lima makam di sepanjang Sungai Perak semasa
pergerakan Balai Gambang dari Pasir Salak ke Teluk Intan,"
katanya.
Makam
berkenaan ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak
ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan
Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah
Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan
Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan
Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti
Pasir Panjang Ulu.
Akhir
sekali pada 14 Mei, Sultan Nazrin akan melawat serta menjejak kaki di
'Beting Beras Basah' yang terletak di muara Sungai Perak sementara
istiadat 'Menutup Kerja' akan berlangsung pada 17 Mei.
Wanita
mengandung atau yang uzur (datang haid) dinasihatkan agar tidak hadir
pada istiadat Tabal Pusaka ini, yang bermula pada pukul 9 malam dan
berakhir pada tengah malam.
Kaum
wanita juga tidak digalakkan menyertai rombongan ke Beting Beras
Basah ini, menurut Ayop.
"Acara
ini hanya dilakukan oleh kaum lelaki. Ini bukan bermaksud ada
diskriminasi terhadap golongan wanita, tetapi merupakan adat
turun-temurun," katanya.
Terdahulu,
Mohd Zahidi berkata, satu jawatankuasa induk pertabalan telah
diwujudkan susulan mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 yang bersidang
pada 20 Jun 2014 dan dipengerusikan Sultan Nazrin sendiri.
"Tuanku
telah menitahkan saya sebagai pengerusi jawatankuasa induk dan (Datuk
Seri) Abdul Puhat sebagai pengerusi bersama manakala (Datuk) Ayop
menyandang jawatan setiausaha.
"Dalam
mesyuarat jawatankuasa induk, kami telah mengadakan enam mesyuarat
untuk membincangkan komposisi jawatankuasa dan pelaksanaan tugas
secara terperinci.
"Jawatankuasa
kecil turut mengadakan mesyuarat bagi menentukan kehalusan dan
ketelitian tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk menyelaraskan
acara sempena pertabalan Tuanku," kata Mohd Zahidi.
Tuesday, 21 April 2015
Ramah Mesra Bersama Penduduk Batu Kurau
Sekitar kenduri kampung anjuran ahli parlimen larut, YB Dato Hamzah Zainudin di kampung sungaimalau. Turut serta exco kerajaan negeri, Dato Dr Muhammad Amin Zakaria, Ybhg Tuan Hj Faizol Arbi selaku ketua umno bahagian, tuan pegawai daerah LMS, tuan haji kamarudin dan pemimpin-pemimpin masyarakat.Sebelum program YB Dato hamzah sempat menyampaikan sumbangan kepada beberapa penduduk sg malau yang kurang sihat.Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini bersama.
Monday, 20 April 2015
Bersama Anak Muda Perak Bakal Pemimpin Pada Masa Depan.
Datuk Dr.Muhammad Amin Zakaria Menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Anak Muda Perak Yang Bakal memimpin Pada Masa Depan.Tahniah Di ucapkan Kepada semua yang datang.
Sunday, 19 April 2015
Pemuda UMNO Perak Tambah Lebih 3,000 Ahli Baharu
Pergerakan Pemuda UMNO
Perak berjaya menambah 3,397 ahli baharu sempena pelancaran Program Jelajah
Kempen Penambahan Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Naib Presiden UMNO
Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, angka itu mencerminkan usaha
keras kepimpinan UMNO negeri ini dalam memastikan bilangan ahli parti itu terus
berkembang.
Sambil mengucapkan syabas
kepada Pemuda UMNO Perak, beliau menyifatkan ia sebagai usaha terbesar selama
ini dengan penambahan ahli baharu UMNO.
“Usaha ini amat penting
untuk kita bagi mempastikan kesiapsiagaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU-14) akan datang,” katanya selepas merasmikan program itu di Bangunan UMNO
Perak, Ipoh pada Ahad.
Beliau memberitahu, bagi
persiapan PRU-14, UMNO tidak akan hanya menumpukan kepada usaha meramaikan
ahli, tetapi dalam masa sama menggalakkan ahlinya mendaftar sebagai pengundi.
Jelas beliau, pendekatan
itu bukan hanya akan digerakkan oleh UMNO tetapi juga akan menjadi budaya
rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN).
Selain itu, kata Shafie,
usaha menambat semula hati bekas ahli UMNO turut akan dilakukan bagi memastikan
mereka kembali menyokong UMNO.
“Kita perlu tambat hati
mereka kerana kita bukan hanya daftar ahli yang baru bahkan perlu ada usaha
untuk memastikan yang dahulu memberikan sokongan kepada UMNO kembali,"
ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya
kini juga mensasarkan untuk menarik seramai mungkin daripada tiga juta pengundi
baharu di negara ini.
Saturday, 18 April 2015
Ziarah Kasih Batu Kurau Selami Masalah Rakyat
Sekali imbas, pasti ramai
yang menyangka pondok yang berdindingkan karung guni dan beratap besi berkarat
adalah tempat istirehat sementara pekebun dan petani melepaskan lelah selepas
mengerjakan ladang.
Hakikat sebenarnya, itulah
kediaman dan tempat berlindung buat Abdul Manaf Hashim, 48, seorang daif miskin
yang kini tinggal berseorangan di Kg Simpang Empat, Batu Kurau.
Dia yang hanya menjual
pisang dan hasil tuaian di kebunnya untuk mencari sesuap nasi, telah tinggal di
pondok kecil itu buat beberapa bulan sehinggalah kisahnya diketahui oleh Pusat
Khidmat ADUN Batu Kurau.
Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin
Zakaria yang juga ADUN Batu Kurau, berkata ketika mengunjungi pondok itu,
hatinya sebak melihat masih ada insan yang dihimpit kemiskinan tanpa sebarang
bantuan dan sokongan dari keluarga dan rakan-rakan.
"Mengikut cerita
jiran-jiran yang tinggal berhampiran dengan pondoknya, lelaki ini mengalami
sedikit kecelaruan minda namun dia tidak pernah menganggu ketenteraman
masyarakat kampung.
"Dia seorang yatim
piatu dan kini tinggal di tanah seluas dua ekar peninggalan arwah ibunya dan
inilah pondok tempatnya berlindung dari hujan panas," katanya kepada
PerakNews selepas melakukan Program Ziarah Kasih di beberapa rumah warga emas,
daif miskin sekitar DUN Batu Kurau baru-baru ini.
Menurut Dr Amin, pihak
Pusat Khidmat ADUN Batu Kurau akan mencari ikhtiar bagi menyelesaikan
kesempitan hidup Abdul Manaf pada masa terdekat agar dia boleh hidup dengan
lebih selesa.
"Tanah itu dimiliki
oleh tiga lagi individu berbeza namun sebahagian memang kepunyaan keluarganya,
kita akan bekerjasama dengan agensi seperti Yayasan Bina Upaya, Baitulmal atau
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk cuba membina sebuah rumah yang elok
untuk Abdul Manaf kelak;ini adalah penyelesaian jangka panjang kita,"
ujarnya.
Selain Abdul Manaf, Dr
Amin turut melawat beberapa rumah dan memberikan sumbangan berupa makanan
kering,keperluan harian dan wang ehsan bagi meringkan beban mereka.
Seorang daripada warga
emas yang dikunjungi, Rukyah Dahaman, 92 tidak dapat menahan rasa terharunya di
atas kunjungan petugas-petugas Pusat Khidmat DUN Batu Kurau terutama sekali Dr
Amin sendiri.
Dia yang dilihat
menitiskan air mata ketika diziarahi di rumah pusakanya di Titi Kasai juga
sempat menghadiahkan sebuah syair buat Dr Muhammad Amin sebagai tanda
penghargaan kepada semua yang bertandang.
"Alhamdullilah makcik
masih sihat, ada kudrat lagi walau dah umur tua ni dan bila ada orang datang
ramai-ramai lawat makcik ni memang la makcik suka, ada teman nak bual,"
katanya tersenyum.
Antara yang terlibat dalam
Program Ziarah Kasih itu ialah barisan Pemuda dan Wanita, Puteri dan
sukarelawan UMNO serta petugas Pusat Khidmat DUN Batu Kurau.
Dr Amin berkata, program
itu dilaksanakan selaras dengan misi untuk memberikan kesejahteraan setimpal
kepada masyarakat sekitar Batu Kurau selain menyelami hati nurani dan
menyelesaikan permasalahan mereka dengan cara terbaik.
Menurut beliau, pihaknya
akan menghubungi ketua kampung dan Pengerusi JKKK untuk mengenalpasti golongan
masyarakat yang memerlukan bantuan seperti warga emas, daif miskin dan golongan
kurang upaya.
Jelasnya, Pusat Khidmat
DUN tersebut juga bertanggungjawab menyalurkan mereka ke JKM bagi tujuan elaun
bulanan dan bantuan kebajikan.
"Kita sediakan
borang,surat sokongan dan kenalpasti mereka yang memerlukan bantuan agar beban
mereka sedikit sebanyak diringankan. Ada yang gagal permohonannya jadi kita
akan cuba kaji dan bantu untuk mendapatkan alternatif lain," katanya.
Kerajaan Sedia Pindah Sekolah Kurang Murid
Kerajaan bersedia menimbang cadangan untuk memindahkan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) yang menghadapi masalah kekurangan murid dari kawasan ladang ke kawasan bandar.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan, perpindahan sekolah-sekolah kurang murid itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat sokongan 100 peratus ibu bapa yang sedang menghantar anak mereka di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan boleh mengatasi masalah sekolah kurang murid itu sekiranya sekolah terbabit dapat dipindahkan ke kawasan tapak baru di bandar dan sebagainya.
"Saya rasa masalah paling penting ketika ini ialah penempatan semula sekolah-sekolah kurang murid dari kawasan ladang untuk dibawa ke bandar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas bersama guru-guru besar dan pegawai pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri di Ipoh pada Isnin.
Menurut beliau, di Perak sahaja terdapat 10 buah sekolah kurang murid yang telah dikenalpasti dan perancangan proaktif sedang diambil untuk memindahkan sekolah terbabit ke lokasi yang lebih sesuai.
Katanya, ketika ini terdapat sejumlah 134 sekolah tamil di negeri Perak dan negeri yang mempunyai jumlah sekolah Tamil yang terbesar di Malaysia.
Beliau turut menjelaskan bahwa pihak Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa memantau untuk melihat sekiranya berlaku penurunan murid di sekolah-sekolah Tamil sedia ada dan mencari jalan untuk perpindahan ke kawasan baru yang lebih bersesuaian.
Kamalanathan juga memberitahu, kerajaan telah bersetuju untuk membina tujuh buah sekolah baharu dimana sebuah telah dibina manakala enam lagi dalam proses pentadbiran dokumentasi berdasarkan kepada keperluan rakyat.
Friday, 17 April 2015
Perak Rancang Rombak Sistem Perpustakaan
Perak merancang untuk merombak sistem perpustakaan di negeri ini bagi memastikan ia menjadi hub penyaluran ilmu yang lebih berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perancangan itu dibuat bagi memastikan misi menjadikan Perak sebagai negeri berteraskan ilmu pengetahuan (K-State) dapat dicapai.
Menurut beliau, di negara-negara maju, perpustakaan dianggap sebagai nadi yang mengukur kemajuan sesebuah masyarakat.
"Kita mempunyai 108 perpustakaan dan dengan jumlah ini, kita mengharapkan setiap satu dapat dilengkapkan dengan sistem penyampaian selaras dengan perkembangan ilmu dan masa," katanya ketika satu sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Sudut Koleksi Dr Zambry di Perpustakaan Negeri di Ipoh pada Isnin.
Menurut beliau, antara peracangan yang akan dibuat ialah dengan mewujudkan satu kawasan interaktif untuk semua golongan, termasuk para penyelidik.
Selain itu, beliau juga mencadangkan beberapa sudut koleksi buku tokoh-tokoh yang berasal daripada negeri ini dapat diwujudkan.
"Mereka yang ternama dari negeri ini juga boleh memberi sumbangan kepada perpustakaan dengan buku-buku pilihan, sebagai contoh mewujudkan sudut Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
"Perpustakaan perlu memainkan peranan dalam sistem penyampaian ilmu yang lebih berkesan termasuk perkhidmatan terbaik bagi mencapai misi kita," ujarnya lagi.
Thursday, 16 April 2015
Dewan Negara Perak Tegur Wakil Rakyat Berpakaian Hitam
Tindakan wakil rakyat yang
berpakaian serba hitam ketika perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan
Negeri Perak Ketiga Belas minggu lalu turut mendapat perhatian serius mesyuarat
Dewan Negara Perak yang bersidang pada Sabtu.
Dewan itu yang bersidang
di Istana Iskandariah Kuala Kangdar memberi teguran keras terhadap cara
berpakaian yang disifatkan melanggar adat.
Setiausaha Dewan Negara
Perak, Datuk Ayob Hashim berkata, perbuatan tersebut turut mencerminkan sikap
tidak beradap, bukan sahaja kepada Dewan Negeri, malah kepada institusi Ketua
Negeri; Raja pemerintah yang telah berangkat mencemar duli untuk memberi
kemulian dan pengiktirafan kepada Dewan itu.
Menurut beliau, setiap
tahun, Paduka Seri Sultan berkenan menetapkan dua acara yang diketegorikan
istimewa dan dimuliakan sebagai hari penuh istiadat yang dirujuk sebagai Hari
Kalung.
Dua acara itu ialah ulang
tahun keputeraan Raja Pemerintah yang diadakan di Balairong Seri Istana
Iskandariah dan dan perasmian Persidangan Dewan Negeri.
“Perkenan Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Sultan menetapkan etika berpakaian penuh istiadat membuktikan
bahawa Raja Pemerintah telah mengiktiraf lalu menganugerahkan darjah kemuliaan
kepada institusi rakyat yang dilambangkan oleh Dewan Perundangan Negeri,”
katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Sehubungan itu, kata Ayob,
ahli-ahli Dewan Negara menetapkan pendirian dan menyembah cadangan kepada
Paduka Seri Sultan Perak agar di masa hadapan bersifat tegas terhadap mana-mana
pihak yang memilih tidak mematuhi adab dan tidak menghormati adat di dalam
sesuatu majlis.
Ketika perasmian Sidang
Dewan Negeri pada 31 Mac lalu, wakil rakyat rakyat pembangkang dilihat memakai
pakaian hitam, tidak seperti kebiasaan pakaian istiadat.
Tindakan mereka telah
menimbulkan kemurkaaan Sultan Nazrin Shah yang terus berangkat meninggal majlis
selepas titah perasmian, tanpa bersantap, mengambil gambar kenang-kenangan dan
bersalaman dengan wakil rakyat, seperti kelazimannya.
Wednesday, 15 April 2015
Saya Tidak Mainkan Sentimen Raja' - Dr Zambry
Menteri Besar, Datuk Seri
Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan beliau tidak bermain sentimen raja tetapi
hendak menyampaikan perasaan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang murka di atas
perbuatan anggota pembangkang yang berpakaian hitam sempena pembukaan hari
pertama Sidang DUN ke-13.
Katanya, beliau juga tidak
menggunakan nama Sultan tetapi hendak menyampaikan perasaan baginda yang datang
dalam keadaan seronok tiba-tiba bertukar duka apabila melihat anggota-anggota
pembangkang berpakaian hitam.
Beliau menyelar anggota
pembangkang yang diketuai Datuk Seri Nizar Jamaluddin kerana masih
mempertahankan tindakan mereka atas empat perkara termasuk atas dasar
solidariti kerana pemenjaraan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Saya sedih melihat YB
sekelian tidak langsung menunjukkan rasa hormat kepada seorang raja,"
katanya semasa menggulung perbahasan ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas
titah ucapan Sultan Perak di Sidang DUN Perak pada Isnin.
Sehubungan dengan itu, Dr
Zambry berharap ianya dapat dijadikan peringatan kepada semua anggota Dewan
agar peristiwa hitam itu tidak berulang lagi di masa akan datang. Pada akhir
penutup penggulungannya, Dr Zambry membalas seloka Nga Kor Ming (DAP -
Kepayang) pada perbahasan kelmarin yang menyentuh tentang kehancuran Barisan
Nasional (BN).
Katanya, seloka yang
dilontarkan oleh wakil Kepayang itu semacam ada simbiosis ritual politik antara
DAP dan PAS.
"Kepayang melaungkan
slogan hancurkan BN dan dan sekutunya menadah tangan berdoa BN dihancurkan,
seruan menghancurkan ini saya kira ajaran baru yang dibawa pakatan,"
ujarnya.
Beliau kemudian membacakan
selokanya yang berbunyi:
Pejuang dibawa sarat
fitnah
Benda yang baik dikata
salah
Mimpi berkuasa mimpi kita
hilang
Namun BN Dikasihi Allah
Hancur BN Tempik Kepayang
Tukar kerajaan kerana
hasad
Rahmat Allah BN menang
Petanda bakti dinikmati
rakyat
Lama mengidam untuk
berkuasa
Dendam dan hasad ditanam
subur
Tidur sebantal, mimpi
berbeza Petanda pakatan akan lebur
Pepatah Melayu banyak yang
masyhur
Antaranya nasi menjadi
bubur
Insya Allah bukan BN yang
bakal hancur
Rasanya pakatan yang bakal
terkubur
Tuesday, 14 April 2015
Sultan Nazrin Meredah Hujan Ketuai Kayuhan Muhibbah
Hujan lebat tidak
menghalang Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah untuk turun mengetuai
kira-kira 2,000 peserta Kayuhan Muhibbah bersama rakyat di Dataran Majlis
Bandaraya Ipoh (MBI) pada malam Sabtu.
Baginda yang diiringi oleh
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim memulakan kayuhan sejauh 8 kilometer
tersebut di Dataran MBI dan berakhir di tempat yang sama.
Turut mengiringi baginda,
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri,
Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Setiausaha MBI, Mohammad
Zakuan Zakaria berkata, program tersebut mendapat sambutan mengalakkan bukan
sahaja daripada wakil-wakil rakyat malah masyarakat setempat berbilang bangsa.
"Walaupun terpaksa
meredah hujan lebat, Tuanku Sultan Nazrin tetap berkayuh tanpa henti bersama-sama
dengan rakyat jelata dan berjaya menamatkan kayuhan sejauh lapan kilometer.
"Daripada pihak
pengurusan, program ini ternyata mencapai matlamat untuk merapatkan hubungan
pemimpin bersama rakyat dan diharap dapat diteruskan pada masa hadapan"
katanya kepada pemberita selepas menamatkan kayuhannya di hadapan lobi MBI.
Menurutnya, kayuhan
muhibbah itu turut diadakan bersempena dengan Hari Bandaraya Ipoh yang jatuh
pada 27 Mei depan.
Zakuan berkata, program
yang diadakan buat julung kali itu turut menganjurkan pertandingan basikal
hiasan LED yang menawarkan wang tunai sebanyak RM1,000 bagi tempat pertama,
tempat kedua RM750 dan RM500 bagi tempat ketiga.
Turut hadir, Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan
Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon, Pengerusi
Infrastruktur,Kemudahan Awam,Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin,
wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan agensi dari sekitar negeri Perak.
Monday, 13 April 2015
UMNO Perak Sebulat Suara Berdiri di Belakang PM
UMNO Perak sebulat suara
mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan kepimpinan
mentadbir Negara bagi kepentingan Negara dan keutuhan parti.
Menteri Besar, Datuk Seri
Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri berkata
kesepakatan itu dicapai dalam satu mesyuarat pada Jumaat juga bersetuju bahawa
pendekatan Perdana Menteri dalam menerajui Negara tidak wajar dipertikai dan dikaburi
dengan pelbagai persepsi sehingga membawa kepada tuduhan serta fitnah melampau.
Katanya kritikan
sedemikian adalah tidak wajar meskipun keterbukaan menerima pandangan, nasihat
dan kritikan membina dialu-alukan Perdana Menteri.
Menurutnya lagi kepimpinan
beliau dalam membawa perjuangan UMNO yang digagaskan pemimpin terdahulu,
merupakan kesinambungan dan menjadi tanggungjawab seluruh ahli parti untuk
sama-sama membantu beliau menjayakan agenda parti.
“Maka dengan itu, Badan
Perhubungan UMNO Perak berpendapat, kesediaan Perdana Menteri tampil secara
terbuka menjawab kritikan, tuduhan dan dakwaan memperlihatkan sikap keterbukaan
dan bertanggungjawab beliau sebagai pemimpin.
Justeru, UMNO Perak
menyeru semua pihak agar memberikan ruang kepada kepimpinan negara dan parti
sekarang untuk melaksanakan agenda transformasi yang sedang berjalan,” kata
Menteri Besar itu dalam satu kenyataan medianya.
Katanya lagi UMNO Perak
akan memastikan kesatuan keluarga besar UMNO negeri ini terus dimantapkan dan
mengelakkan serangan dari dalam terhadap kepimpinan yang boleh melemah serta
memporak perandakan parti.
Sebagai tanda sokongan
kepada Perdana Menteri, UMNO Perak bertekad untuk memastikan Barisan Nasional
terus menerajui pentadbiran negeri ini, kata beliau.
Sunday, 12 April 2015
40 PLK Bantu Pelajar Tercicir
Sebanyak 40 Pusat Latihan
Kemahiran (PLK) di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian
Sumber Manusia yang diwujudkan di seluruh negeri Perak wajar dijadikan platform
pendidikan buat pelajar-pelajar tercicir khususnya dalam bidang kemahiran.
Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin
Zakaria berkata, kesemua PLK itu menawarkan pelbagai kursus kemahiran yang
termasuk di bawah pengiktirafan Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi
menyediakan mereka di alam pekerjaan kelak.
Menurut beliau, mereka
yang berminat bolehlah mendaftarkan di mana-mana PLK berdasarkan kursus yang
diminati kerana tiada sebarang penetapan khusus untuk masuk ke dalam
program-program ini.
"Mereka juga tidak
perlu bimbang mengenai kualiti pembelajaran kerana standard yang digunakai
telah diselaraskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk memastikan
pembelajaran yang dinamik dan praktikal," katanya ketika menggulung
perbahasan pada hari terakhir Sidang DUN.
Menurutnya, kriteria
terpenting yang paling diutamakan adalah kemampuan pelajar-pelajar dalam
penulisan, pengiraan dan pembacaan untuk memajukan diri mereka sebagai asas
kerjaya.
Dr Amin berkata, usahasama
berterusan di antara PLK dan pusat industri mengikut bidang-bidang kemahiran
masing-masing, sentiasa dijalankan agar pelajar-pelajar boleh diserapkan ke
syarikat dan agensi berkenaan setelah program latihan mereka tamat.
"Sepanjang proses
latihan di PLK tersebut, elaun khas akan diberikan kepada mereka bagi menampung
beberapa kekurangan pembiayaan yang ada selain sentiasa memastikan bimbingan
motivasi dan emosi diberikan agar mereka tidak berputus asa di dalam usaha
memajukan sahsiah diri," ujarnya.
Jelasnya, lebih daripada
1,600 pelajar telah dilatih di bawah program khas dalam pelbagai bidang
kemahiran di bawah PLK di seluruh negeri Perak.
Saturday, 11 April 2015
Saya Bertanggungjawab Kepada Rakyat Dan Parti:- DS Mohd Najib Tun Razak
Tatkala
pelbagai pihak melemparkan kritikan dan menyoalkan cara kepimpinan Perdana
Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, beliau menerima perkara itu sebagai
sesuatu yang positif.
Menjelaskan perkara itu pada umum, beliau menegaskan bahawa apa
jua keputusan yang dilakukan adalah menjadi tanggungjawabnya ke atas rakyat dan
parti.
“Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu.
Tetapi saya perlu tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan
sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO, dan saya bertanggungjawab
kepada rakyat Malaysia dan kepada parti. Itu saya nak tegaskan.
“Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan
bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti,” jelas beliau.
Dato’ Seri Mohd Najib juga menjawab kepada persoalan yang
dibangkitkan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengenai
pentadbiran beliau.
“Saya tetap hormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya hormati
rakyat Malaysia. Saya terbuka sekiranya mana-mana pihak yang mengkritik
kepimpinan saya, pentadbiran saya,” katanya.
Sebelum itu Dato’ Seri Mohd Najib menjelaskan usaha yang
dijalankan kerajaan untuk memantapkan ekonomi Negara dikala berdepan dengan isu
kejatuhan harga bahan api.
“Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak terpaksa membuat
penyesuaian/adjustment kepada kedudukan fiskal negara, supaya langkah-langkah
yang lebih proaktif kita dapat menjamin bahawa fundamental ekonomi negara kita
masih kukuh.
“Ini yang nak saya tekankan. Meskipun harga minyak jatuh tetapi
fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar
pertumbuhan yang sederhana tinggi.
“Kita masih boleh menarik pelaburan, kita masih boleh
melaksanakan pembaharuan transformasi negara dan kita boleh terus memastikan
rakyat Malaysia terbela,” jawab beliau dalam menjelaskan persoalan dari segala
aspek berkaitan pentadbirannya.
Pembangunan Lestari Mahasiswa Diutamakan
Kerajaan negeri telah
merangka pelbagai aktiviti sejajar dengan gagasan Program Pengupayaan Mahasiswa
yang menumpukan kepada pembangunan lestari anak-anak Perak yang berhasrat
melanjutkan pengajian mereka.
Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin
Zakaria berkata, program-program tersebut diadakan bagi menyelami permasalahan
dan rintangan golongan mahasiswa yang akan menjadi agen pembangunan negeri Perak
kelak.
Menurutnya, siri program
jelajah yang melibatkan seramai 5,000 orang akan diadakan di mana Menteri Besar
akan melawat anak-anak Perak yang menuntut di setiap institusi pengajian tinggi
(IPT) di seluruh negara dalam usaha merapatkan silaturahim.
"Selain itu, kita
juga membuat persediaan bagi mengelakkan penggangguran di kalangan mahasiswa
dengan mengumpulkan mereka melalui Himpunan Kerjaya Mahasiswa Anak Perak, bagi
mengenal pasti dan mencari peluang kerjaya sebaik sahaja mereka tamat
pengajian," katanya ketika menggulung teks perbahasan pada hari terakhir
sidang DUN.
Menurut beliau, kesemua
usaha itu adalah selaras dengan salah satu daripada tujuh Bidang Keberhasilan
Utama dalam Gagasan Perak Amanjaya iaitu Masyarakat Berkemahiran, Berilmu dan
Beretika.
Dalam pada itu, kata Dr
Amin, kerajaan negeri akan melaksanakan kajian semula terhadap keperluan semasa
dan cadangan untuk meningkatkan peruntukan pinjaman pengajian tinggi bagi
anak-anak Perak bagi sesi 2015/2016.
Jelasnya, memandangkan
peruntukan pinjaman pengajian tinggi untuk menaja mahasiswa dari negeri Perak
adalah terhad, maka mereka yang masih mempunyai masalah kewangan boleh mencari
alternatif dengan mendapatkan pembiayaan daripada Jabatan Perkhidmatan
Awam(JPA), MARA dan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional(PTPTN).
Subscribe to:
Posts (Atom)