Sebanyak 40 Pusat Latihan
Kemahiran (PLK) di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian
Sumber Manusia yang diwujudkan di seluruh negeri Perak wajar dijadikan platform
pendidikan buat pelajar-pelajar tercicir khususnya dalam bidang kemahiran.
Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin
Zakaria berkata, kesemua PLK itu menawarkan pelbagai kursus kemahiran yang
termasuk di bawah pengiktirafan Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi
menyediakan mereka di alam pekerjaan kelak.
Menurut beliau, mereka
yang berminat bolehlah mendaftarkan di mana-mana PLK berdasarkan kursus yang
diminati kerana tiada sebarang penetapan khusus untuk masuk ke dalam
program-program ini.
"Mereka juga tidak
perlu bimbang mengenai kualiti pembelajaran kerana standard yang digunakai
telah diselaraskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk memastikan
pembelajaran yang dinamik dan praktikal," katanya ketika menggulung
perbahasan pada hari terakhir Sidang DUN.
Menurutnya, kriteria
terpenting yang paling diutamakan adalah kemampuan pelajar-pelajar dalam
penulisan, pengiraan dan pembacaan untuk memajukan diri mereka sebagai asas
kerjaya.
Dr Amin berkata, usahasama
berterusan di antara PLK dan pusat industri mengikut bidang-bidang kemahiran
masing-masing, sentiasa dijalankan agar pelajar-pelajar boleh diserapkan ke
syarikat dan agensi berkenaan setelah program latihan mereka tamat.
"Sepanjang proses
latihan di PLK tersebut, elaun khas akan diberikan kepada mereka bagi menampung
beberapa kekurangan pembiayaan yang ada selain sentiasa memastikan bimbingan
motivasi dan emosi diberikan agar mereka tidak berputus asa di dalam usaha
memajukan sahsiah diri," ujarnya.
Jelasnya, lebih daripada
1,600 pelajar telah dilatih di bawah program khas dalam pelbagai bidang
kemahiran di bawah PLK di seluruh negeri Perak.
No comments:
Post a Comment