Lebih daripada 1000
peserta dari pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) menyertai perhimpunan aman
di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi membantah tindakan wakil
pembangkang yang mengenakan pakaian serba hitam ketika Istiadat Pembukaan
Sidang DUN pada Selasa.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian
Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, himpunan aman yang
diadakan buat kali kedua itu diadakan sebagai membantah tindakan wakil
pembangkang yang dikatakan mencabar ketuanan institusi Kesultanan Perak.
Menurutnya, perhimpunan
mereka adalah untuk mewakili solidariti kaum Cina, India dan Melayu yang tidak
menginginkan mana-mana pihak menghina kedaulatan institusi Kesultanan Perak.
"Kami juga sebulat
suara mencadangkan agar darjat kebesaran Datuk Seri dan Datuk golongan
pembangkang yang memakai pakaian hitam pada hari pertama sidang DUN ditarik balik,"
katanya pada sidang media ketika perhimpunan itu berlangsung.
Shamsul Bahrin berkata,
pihaknya akan melakukan himpunan aman bantahan buat kali ketiga dan berarak ke
kawasan istana Sultan Nazrin di Kuala Kangsar.
Jelasnya, perhimpunan yang
diadakan pada hari terakhir sidang DUN itu diharap dapat menghantar mesej yang
serius kepada wakil pembangkang yang seakan-akan tidak mempedulikan mengenai
sensitiviti pemakaian rasmi ketika ianya dihadiri oleh Sultan Nazrin Shah.
Perhimpunan yang
berlangsung selama tiga jam itu berjalan dengan aman dan lancar dan dikawal
selia oleh pihak berkuasa.
Antara NGO yang mengambil
bahagian ialah PERKASA Perak, Pertubuhan Ayahanda Penasihat Insan Malaysia
(PAPIM), Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia
Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak, penuntut tahfiz dan
sekolah-sekolah pondok serta Pemuda UMNO Perak.
Pada Selasa, ketika
Istiadat Pembukaan sidang DUN Perak kesemua 26 wakil pembangkang tidak memakai
pakaian istiadat sebaliknya memakai sut atau baju Melayu serba hitam.
No comments:
Post a Comment