Sekali imbas, pasti ramai
yang menyangka pondok yang berdindingkan karung guni dan beratap besi berkarat
adalah tempat istirehat sementara pekebun dan petani melepaskan lelah selepas
mengerjakan ladang.
Hakikat sebenarnya, itulah
kediaman dan tempat berlindung buat Abdul Manaf Hashim, 48, seorang daif miskin
yang kini tinggal berseorangan di Kg Simpang Empat, Batu Kurau.
Dia yang hanya menjual
pisang dan hasil tuaian di kebunnya untuk mencari sesuap nasi, telah tinggal di
pondok kecil itu buat beberapa bulan sehinggalah kisahnya diketahui oleh Pusat
Khidmat ADUN Batu Kurau.
Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin
Zakaria yang juga ADUN Batu Kurau, berkata ketika mengunjungi pondok itu,
hatinya sebak melihat masih ada insan yang dihimpit kemiskinan tanpa sebarang
bantuan dan sokongan dari keluarga dan rakan-rakan.
"Mengikut cerita
jiran-jiran yang tinggal berhampiran dengan pondoknya, lelaki ini mengalami
sedikit kecelaruan minda namun dia tidak pernah menganggu ketenteraman
masyarakat kampung.
"Dia seorang yatim
piatu dan kini tinggal di tanah seluas dua ekar peninggalan arwah ibunya dan
inilah pondok tempatnya berlindung dari hujan panas," katanya kepada
PerakNews selepas melakukan Program Ziarah Kasih di beberapa rumah warga emas,
daif miskin sekitar DUN Batu Kurau baru-baru ini.
Menurut Dr Amin, pihak
Pusat Khidmat ADUN Batu Kurau akan mencari ikhtiar bagi menyelesaikan
kesempitan hidup Abdul Manaf pada masa terdekat agar dia boleh hidup dengan
lebih selesa.
"Tanah itu dimiliki
oleh tiga lagi individu berbeza namun sebahagian memang kepunyaan keluarganya,
kita akan bekerjasama dengan agensi seperti Yayasan Bina Upaya, Baitulmal atau
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk cuba membina sebuah rumah yang elok
untuk Abdul Manaf kelak;ini adalah penyelesaian jangka panjang kita,"
ujarnya.
Selain Abdul Manaf, Dr
Amin turut melawat beberapa rumah dan memberikan sumbangan berupa makanan
kering,keperluan harian dan wang ehsan bagi meringkan beban mereka.
Seorang daripada warga
emas yang dikunjungi, Rukyah Dahaman, 92 tidak dapat menahan rasa terharunya di
atas kunjungan petugas-petugas Pusat Khidmat DUN Batu Kurau terutama sekali Dr
Amin sendiri.
Dia yang dilihat
menitiskan air mata ketika diziarahi di rumah pusakanya di Titi Kasai juga
sempat menghadiahkan sebuah syair buat Dr Muhammad Amin sebagai tanda
penghargaan kepada semua yang bertandang.
"Alhamdullilah makcik
masih sihat, ada kudrat lagi walau dah umur tua ni dan bila ada orang datang
ramai-ramai lawat makcik ni memang la makcik suka, ada teman nak bual,"
katanya tersenyum.
Antara yang terlibat dalam
Program Ziarah Kasih itu ialah barisan Pemuda dan Wanita, Puteri dan
sukarelawan UMNO serta petugas Pusat Khidmat DUN Batu Kurau.
Dr Amin berkata, program
itu dilaksanakan selaras dengan misi untuk memberikan kesejahteraan setimpal
kepada masyarakat sekitar Batu Kurau selain menyelami hati nurani dan
menyelesaikan permasalahan mereka dengan cara terbaik.
Menurut beliau, pihaknya
akan menghubungi ketua kampung dan Pengerusi JKKK untuk mengenalpasti golongan
masyarakat yang memerlukan bantuan seperti warga emas, daif miskin dan golongan
kurang upaya.
Jelasnya, Pusat Khidmat
DUN tersebut juga bertanggungjawab menyalurkan mereka ke JKM bagi tujuan elaun
bulanan dan bantuan kebajikan.
"Kita sediakan
borang,surat sokongan dan kenalpasti mereka yang memerlukan bantuan agar beban
mereka sedikit sebanyak diringankan. Ada yang gagal permohonannya jadi kita
akan cuba kaji dan bantu untuk mendapatkan alternatif lain," katanya.
No comments:
Post a Comment