Kerajaan negeri telah
merangka pelbagai aktiviti sejajar dengan gagasan Program Pengupayaan Mahasiswa
yang menumpukan kepada pembangunan lestari anak-anak Perak yang berhasrat
melanjutkan pengajian mereka.
Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin
Zakaria berkata, program-program tersebut diadakan bagi menyelami permasalahan
dan rintangan golongan mahasiswa yang akan menjadi agen pembangunan negeri Perak
kelak.
Menurutnya, siri program
jelajah yang melibatkan seramai 5,000 orang akan diadakan di mana Menteri Besar
akan melawat anak-anak Perak yang menuntut di setiap institusi pengajian tinggi
(IPT) di seluruh negara dalam usaha merapatkan silaturahim.
"Selain itu, kita
juga membuat persediaan bagi mengelakkan penggangguran di kalangan mahasiswa
dengan mengumpulkan mereka melalui Himpunan Kerjaya Mahasiswa Anak Perak, bagi
mengenal pasti dan mencari peluang kerjaya sebaik sahaja mereka tamat
pengajian," katanya ketika menggulung teks perbahasan pada hari terakhir
sidang DUN.
Menurut beliau, kesemua
usaha itu adalah selaras dengan salah satu daripada tujuh Bidang Keberhasilan
Utama dalam Gagasan Perak Amanjaya iaitu Masyarakat Berkemahiran, Berilmu dan
Beretika.
Dalam pada itu, kata Dr
Amin, kerajaan negeri akan melaksanakan kajian semula terhadap keperluan semasa
dan cadangan untuk meningkatkan peruntukan pinjaman pengajian tinggi bagi
anak-anak Perak bagi sesi 2015/2016.
Jelasnya, memandangkan
peruntukan pinjaman pengajian tinggi untuk menaja mahasiswa dari negeri Perak
adalah terhad, maka mereka yang masih mempunyai masalah kewangan boleh mencari
alternatif dengan mendapatkan pembiayaan daripada Jabatan Perkhidmatan
Awam(JPA), MARA dan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional(PTPTN).
No comments:
Post a Comment