Hujan lebat tidak
menghalang Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah untuk turun mengetuai
kira-kira 2,000 peserta Kayuhan Muhibbah bersama rakyat di Dataran Majlis
Bandaraya Ipoh (MBI) pada malam Sabtu.
Baginda yang diiringi oleh
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim memulakan kayuhan sejauh 8 kilometer
tersebut di Dataran MBI dan berakhir di tempat yang sama.
Turut mengiringi baginda,
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri,
Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Setiausaha MBI, Mohammad
Zakuan Zakaria berkata, program tersebut mendapat sambutan mengalakkan bukan
sahaja daripada wakil-wakil rakyat malah masyarakat setempat berbilang bangsa.
"Walaupun terpaksa
meredah hujan lebat, Tuanku Sultan Nazrin tetap berkayuh tanpa henti bersama-sama
dengan rakyat jelata dan berjaya menamatkan kayuhan sejauh lapan kilometer.
"Daripada pihak
pengurusan, program ini ternyata mencapai matlamat untuk merapatkan hubungan
pemimpin bersama rakyat dan diharap dapat diteruskan pada masa hadapan"
katanya kepada pemberita selepas menamatkan kayuhannya di hadapan lobi MBI.
Menurutnya, kayuhan
muhibbah itu turut diadakan bersempena dengan Hari Bandaraya Ipoh yang jatuh
pada 27 Mei depan.
Zakuan berkata, program
yang diadakan buat julung kali itu turut menganjurkan pertandingan basikal
hiasan LED yang menawarkan wang tunai sebanyak RM1,000 bagi tempat pertama,
tempat kedua RM750 dan RM500 bagi tempat ketiga.
Turut hadir, Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan
Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon, Pengerusi
Infrastruktur,Kemudahan Awam,Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin,
wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan agensi dari sekitar negeri Perak.
No comments:
Post a Comment