Pendekatan kerajaan negeri
melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) adalah untuk memastikan hasil negeri
bertambah, bukannya untuk diberi kepada kroni.
Menteri Besar, Datuk Seri
Dr Zambry Abd Kadir menegaskan, MB Inc merupakan sebuah agensi yang
bertanggungjawab untuk menguruskan sumber mineral dan juga pasir bagi
memastikan tidak berlaku ketirisan.
"Berkali-kali saya
telah menyebut bahawa pendekatan kerajaan negeri melalui MB Inc adalah untuk
memastikan hasil negeri kita bertambah dan bukan untuk memberi kepada
kroni," katanya kepada pemberita di bilik media Dewan Negeri Perak, Ipoh
pada Jumaat.
Sehubungan dengan itu,
katanya, kerajaan negeri Perak telah membuat beberapa kajian untuk mencari
model yang terbaik bagi menambah hasil.
Tambah beliau, salah satu
daripada model yang dianggap terbaik ialah dengan menggunakan pendekatan MB
Inc, sebab itulah perbadanan itu diaktifkan semula.
Menurut Dr Zambry, setiap
negeri mempunyai Perbadanan Menteri Besar masing-masing, contohnyaPerbadanan
Menteri Besar Selangor.
"Kita melihat contoh
yang ada, sewaktu Tan Sri Khalid Ibrahim mengurus semula untuk mengelakkan
daripada ketirisan yang besar dan telah memberikan pulangan yang baik kepada
kerajaan negeri Selangor," ujarnya.
Dr Zambry berkata,
menerusi beberapa pendekatan yang digunakan kerajaan melalui MB Inc telah
menambah hasil negeri daripada RM7.6 juta sebelum ini, meningkat kepada RM8.1
juta.
Beliau mengambil contoh,
hasil usaha yang dijalankan MB Inc berhubung penggunaan tanah liat di sebuah
kawasan di Trong yang sebelum ini memberikan hasil kepada negeri hanya RM40,000
setahun tetapi dengan adanya pendekatan baru melalui MB Inc, hasilnya meningkat
kepada RM40,000 sebulan secara purata.
Dr Zambry juga menafikan
tuduhan berulang kali oleh pihak pembangkang, seolah-olah kerajaan tidak
mengamalkan tender terbuka dan sebagainya.
"Jadi membuat tuduhan
seolah-olah kita tidak mengamalkan 'open tender' dan sebagainya adalah tidak
benar dan kita perlu mengambil beberapa pendekatan yang lebih bagi menambahkan
hasil negeri," ujarnya.
Menurut beliau, sistem
tender terbuka terdedah kepada kemungkinan harga yang mereka tawarkan lebih
rendah daripada yang sepatutnya.
Beliau memberi contoh,
apabila tender terbuka dilaksanakan untuk kawasan pembalakan, harga yang
ditawarkan lebih rendah daripada anggaran Jabatan Perhutanan.
No comments:
Post a Comment