Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Thursday 16 April 2015

Dewan Negara Perak Tegur Wakil Rakyat Berpakaian Hitam

Tindakan wakil rakyat yang berpakaian serba hitam ketika perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Perak Ketiga Belas minggu lalu turut mendapat perhatian serius mesyuarat Dewan Negara Perak yang bersidang pada Sabtu.
Dewan itu yang bersidang di Istana Iskandariah Kuala Kangdar memberi teguran keras terhadap cara berpakaian yang disifatkan melanggar adat.
Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayob Hashim berkata, perbuatan tersebut turut mencerminkan sikap tidak beradap, bukan sahaja kepada Dewan Negeri, malah kepada institusi Ketua Negeri; Raja pemerintah yang telah berangkat mencemar duli untuk memberi kemulian dan pengiktirafan kepada Dewan itu.
Menurut beliau, setiap tahun, Paduka Seri Sultan berkenan menetapkan dua acara yang diketegorikan istimewa dan dimuliakan sebagai hari penuh istiadat yang dirujuk sebagai Hari Kalung.
Dua acara itu ialah ulang tahun keputeraan Raja Pemerintah yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah dan dan perasmian Persidangan Dewan Negeri.
“Perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan menetapkan etika berpakaian penuh istiadat membuktikan bahawa Raja Pemerintah telah mengiktiraf lalu menganugerahkan darjah kemuliaan kepada institusi rakyat yang dilambangkan oleh Dewan Perundangan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Sehubungan itu, kata Ayob, ahli-ahli Dewan Negara menetapkan pendirian dan menyembah cadangan kepada Paduka Seri Sultan Perak agar di masa hadapan bersifat tegas terhadap mana-mana pihak yang memilih tidak mematuhi adab dan tidak menghormati adat di dalam sesuatu majlis.
Ketika perasmian Sidang Dewan Negeri pada 31 Mac lalu, wakil rakyat rakyat pembangkang dilihat memakai pakaian hitam, tidak seperti kebiasaan pakaian istiadat.
Tindakan mereka telah menimbulkan kemurkaaan Sultan Nazrin Shah yang terus berangkat meninggal majlis selepas titah perasmian, tanpa bersantap, mengambil gambar kenang-kenangan dan bersalaman dengan wakil rakyat, seperti kelazimannya.

No comments:

Post a Comment