Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Thursday 18 June 2015

20 ADUN Perak selami kesusahan rakyat melalui Program Ziarah Ramadan

Dua puluh wakil rakyat di Perak memilih menggunakan barakah Ramadan untuk mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat setempat serta menceriakan golongan kurang berkemampuan melalui program Ziarah Ramadan.
Dinamakan Program Gerak Mesra Kelab BNBC diketuai Pengerusi BNBC, Datuk Khusairi Abu Talib akan dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti.
Program yang dilancarkan hari ini dengan membuat kunjungan mesra bersama penduduk sekitar Pasir Panjang dan Pangkor.
Khusairi yang juga merangkap Ketua Penerangan UMNO Perak itu berkata program yang julung kali diadakan itu juga bertujuan mendengar pemasalahan masyarakat setempat.
Katanya pendekatan tersebut merupakan langkah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan wakil rakyat dalam mendengar dan mengambil tindakan terhadap keperluan semasa mereka yang boleh dibantu.
"Program ini adalah hasil retreat khas dua hari di Pangkor dan bersempena dengan kedatangan Ramadan Rabu ini kami mengambil kesempatan melawat 60 buah rumah di sekitar Pasir Panjang dan Pangkor yang berada dalam keadaan agak memerlukan, dengan memberikan sumbangan berupa bungkusan makanan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama wakil JKKK sekitar Pasir Panjang di Dewan JKKK, Kampung Datuk Seri Kamaruddin, Seri Manjung pada petang Isnin.
Jelasnya masyarakat harus sedar yang kesemua pemimpin tidaklah hanya melontarkan kata-kata kosong ketika pemilihan raya sahaja tetapi juga mengambil berat seikhlasnya terhadap kebajikan rakyat agar tiada yang tertinggal dalam pembangunan negeri ini.
Khusairi berkata pihaknya juga akan melaksanakan Program Gerak Mesra BNBBC di beberapa kawasan ADUN tumpuan sepanjang persiapan menuju ke bulan Ramadan al-Mubarak.
Salah seorang penerima sumbangan di Kampung Permatang, Manjung, Fatimah Mohd Shariff,76 berkata kunjungan daripada wakil-wakil rakyat tersebut ternyata merupakan salah satu hadiah yang tidak ternilai buat dirinya.
Beliau yang telah menggunakan kerusi roda sejak lima tahun lepas berikutan serangan angin ahmar bersyukur kerana masih ada insan yang prihatin dan mengambil berat terhadap keadaan dirinya terutamanya menjelang bulan suci ini.
"Memanglah sedih bercampur gembira kerana walaupun usia sudah lanjut dan keadaan kesihatan tidak mengizinkan, namun saya tersentuh kerana masih ada pihak datang, bertanyakan khabar dan memberikan sumbangan," katanya ketika selepas menerima sumbangan daripada ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

No comments:

Post a Comment