KUALA
LUMPUR: Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz bersedia
memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung kenyataan beliau yang
dikatakan menasihati Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ismail, supaya
tidak mencampuri urusan politik Negara.
“Saya seorang yang berpegang pada
undang-undang dan akan berdepan dengan undang-undang.
“Setakat ini, saya tidak dipanggil…belum
dipanggil lagi,”kata beliau kepada The Malaysian Insider, hari ini.
Nazri turut berkata, seluruh rakyat
Malaysia tahu bahawa kerabat diraja mempunyai kedudukan yang lebih tinggi
daripada politik dan tidak boleh sama sekali didakwa di bawah Akta Hasutan.
“Apabila Tunku Mahkota Johor serang Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, tiada apa boleh dilakukan
terhadapnya kerana beliau dilindungi Akta Hasutan.
“Tetapi apabila saya pertahankan Najib,
saya kena panggil. Sekarang kita tahulah, padangnya tidak sama rata,”kata
beliau.
Terbaharu, Ketua Polis Negara, Tan Seri
Khalid Abu Bakar berkata, terdapat beberapa laporan polis telah dibuat terhadap
Nazri berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri tersebut dan pihak
polis akan menyiasat perkara tersebut dibawah Akta Hasutan 1948.
Terdahulu, Nazri telah membidas kenyataan
Tunku Mahkota Johor kerana bertindak mengkritik tindakan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Abdul Razak yang membatalkan kehadirannya dalam forum ‘Nothing To
Hide’ pada 5 Jun lalu.
“Bagaimana boleh diadakan suatu dialog
bertajuk ‘Nothing2hide’ dengan mengetengahkan seorang yang ingin menyembunyikan
segala-galanya. Tentu sekali dia tidak akan muncul.
“Kepada mereka yang diberikan amanah,
jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda,
tetapi fikirkanlah mengapa rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap
anda,”tulis Tunku Ismail pada posting Facebook Johor Southern Tigers yang
bertarikh 5 Jun lalu.
Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, Nazri
memberitahu Tunku Ismail supaya ‘menjauhi politik’ jika tidak mahu ‘dibelasah’.
“Saya rasa beliau harus menjauhkan diri
daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan
‘whack’ (belasah) beliau,” katanya.
No comments:
Post a Comment