IPOH:
Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan hampir RM3.7 juta bagi membiayai 501 orang
pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan
Swasta (IPTA/IPTS) bagi sesi 2015/2016.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains,
Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria dalam ucap
utamanya berkata, pinjaman yang diberikan ini meliputi pelbagai peringkat
pengajian daripada peringkat diploma hingga je Ijazah Falsafah (Ph.D).
“Seramai 83 orang pelajar bagi peringkat
diploma, 354 pelajar bagi peringkat ijazah sarjana muda, 53 pelajar di
peringkat sarjana dan 11 pelajar bagi peringkat Ph.D akan menerima pinjaman
pada tahun ini.
“Pinjaman ini diberikan untuk memudahkan
pelajar bagi membayar yuran serta peralatan pembelajaran di institusi pengajian
tinggi masing-masing,”katanya ketika ucap utamanya di Majlis Penyerahan Cek
Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak (Diploma) Sesi 2015/2016 di Bangunan
Darul Ridzuan, di sini, petang tadi.
Katanya lagi, kerajaan negeri turut
memutuskan majlis penyerahan cek diadakan dua kali berbanding tahun-tahun
sebelum ini.
“Majlis penyerahan cek ini diadakan dua
kali iaitu pada bulan Mei bagi kemasukan pelajar ke peringkat Diploma kerana
mereka akan memasuki ke IPTA atau IPTS pada Jun nanti.
“Manakala bagi pelajar ijazah sarjana muda,
sarjana dan Ph.D akan dilakukan pada Ogos nanti,”katanya.
Amin turut berkata, kerajaan negeri dibawah
pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir cukup komited dalam
memberikan pendidikan yang terbaik kepada pelajar di negeri itu.
“Kita akan pastikan tiada yang tertinggal,
tiada yang terpinggir di dalam konteks pendidikan,”tegasnya.
Amin turut menasihati kepada pelajar agar
kembali berkhidmat ke negeri itu sekiranya tamat pengajian kelak.
Beliau turut menyeru agar mereka membayar
semula pinjaman pendidikan untuk membantu pelajar lain di masa hadapan.
“Dengan bayaran semula itu, kerajaan negeri
akan dapat membantu pelajar lain yang mendapat tawaran bagi menyambung
pelajaran ke IPT di masa hadapan,”katanya.
Terdahulu, Amin menegaskan bahawa kerajaan
Negeri bakal menyenaraihitamkan nama peminjam yang tidak mahu membayar hutang
pinjaman tersebut.
Kerajaan negeri juga akan menghantar
nama-nama peminjam tegar kepada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS)
dan menggunakan perkhidmatan Credit Tipp Off Service (CTOS) untuk
menyenaraihitamkan nama mereka.
No comments:
Post a Comment