PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bajet 2016 dijadual
dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober ini dengan fokus memperkukuh
pertumbuhan, memperluas keterangkuman dan memastikan kemampanan fiskal.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata
Bajet 2016 akan menjadi bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11)
yang dibentang di Parlimen pada 21 Mei.
“Sasaran makro dan strategi meluas yang
digariskan di bawah RMK11 akan direalisasikan melalui bajet tahunan.
“Bajet tahunan merupakan blok kritikal ke
arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020,”
katanya pada Majlis Konsultasi Bajet 2016 di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri
Dr Ali Hamsa, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Chua Tee
Yong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.
Melahirkan keyakinan beliau untuk mencapai
Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita USD15,000, Najib berkata kerajaan
perlu mengurus pengagihan kekayaan ini dengan cara yang adil demi kepentingan
rakyat dan pendekatan modal ekonomi.
“Bergerak ke hadapan, pendekatan ini akan
menjadi tulang belakang bagi merangka bajet tahunan kita,” katanya.
Mengimbas kembali Bajet 2015, Najib berkata
daripada 91 ‘touch point’ yang menjadi inti pati bajet itu, lapan telah
disempurnakan, 69 masih di peringkat pelaksanaan dan 14 lagi dalam perancangan
yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.
Satu daripada inisiatif yang selesai ialah
pemberian diskaun sebanyak 20 peratus kepada peminjam Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Mac, yang telah memanfaatkan
49,968 peminjam untuk melangsaikan pinjaman, katanya.
Antara inisiatif dalam proses pelaksanaan
ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Barat-Taiping, Perak; pembiayaan usahawan;
pinjaman mikro kepada penjaja dan peniaga kecil; pembinaan 32 klinik 1Malaysia
dan penambahbaikan bekalan air dan elektrik di luar bandar, katanya.
Mengenai majlis konsultasi bajet hari ini,
Najib yakin ia dapat menjana idea bernas dan merancakkan lagi usaha-usaha
transformasi dan pembangunan negara supaya mencapai hasrat Malaysia menjadi
negara maju berpendapatan tinggi serta menjamin kesejahteraaan rakyat.
“Majlis tahunan ini adalah satu platform
yang penting bagi saya, di mana kerajaan dan sektor swasta serta pertubuhan
bukan kerajaan dapat memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran dan
isu-isu semasa dalam memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh demi menjamin
kesejahteraan rakyat,” katanya.
Najib berkata setiap isu yang dibangkitkan
dan cadangan yang dikemukakan akan diperhalusi serta diberi pertimbangan
sewajarnya dalam penyediaan Bajet
2016.
2016.
“Saya tidak sabar untuk menerima cadangan
atau idea mengenai inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup Kumpulan Bawah 40
(B40).
“Saya juga mahu sektor swasta bekerjasama
dengan sektor awam untuk terus membangun dan mempromosikan Pendidikan dan
Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memanfaatkan tenaga kerja kurang
mahir kita,” katanya.
Beliau menambah hujahan itu meliputi
spektrum makro, sektor dan isu sosial yang luas untuk persediaan bajet dan
mesyuarat kumpulan sasaran yang akan diselaraskan oleh Kementerian Kewangan.
Beliau menggesa setiap orang untuk bekerja
bersama-sama dalam semangat 1Malaysia bagi menjana pertumbuhan mampan dan
kemakmuran yang berterusan demi
kebaikan rakyat dan negara.
kebaikan rakyat dan negara.
-BERNAMA
No comments:
Post a Comment