Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Sunday 21 June 2015

“Keprihatinan Kerajaan Negeri Bukan Bermusim” -DS Zambry



IPOH: Keprihatinan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Perak terhadap kebajikan kesemua kaum yang berada di negeri itu bukan hanya bersifat sementara.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Kerajaan Negeri telah memberikan komitmen yang berterusan dalam menyediakan bantuan dan memenuhi keperluan kepada semua rakyat di negeri itu.
Tegasnya, Kerajaan Negeri amat menitikberatkan tentang segala bentuk bantuan dalam memastikan kemajuan sesuatu kaum di negeri Perak.
Komitmen itu bukan bermusim dan hanya sewaktu saya telah dilantik menjadi Menteri Besar, malah ianya berterusan selepas pilihan raya dan sehinggalah hari ini.
Apa yang saya janjikan dahulu bukan hanya untuk mendapatkan sokongan politik, tetapi saya tunaikan segala apa yang telah saya janjikan sehinggalah hampir enam tahun saya menjadi Menteri Besar,” katanya.
Beliau juga berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu semua lapisan masyarakat khususnya kepada masyarakat India di negeri itu bukan bermusim dan ianya akan berterusan.
Kerajaan Negeri bukan hanya menumpukan kepada kaum tertentu sahaja daripada segi pendekatan yang diambil oleh kerajaan terhadap penduduk di negeri Perak
Saya tahu bahawa masyarakat India di negeri Perak tahu apa yang Kerajaan Negeri telah laksanakan antaranya dalam menyampaikan dan memberikan bantuan pendidikan bagi mereka,” ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang mempersoalkan tentang bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri terhadap masyarakat India di negeri itu.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri telah berusaha dalam menyediakan program-program pengupayaan yang sesuai dengan keadaan serta kedudukan sesuatu kaum di negeri Perak.
Dalam kontek masyarakat India umpamanya, kita tahu bahawa keperluan-keperluan daripada segi prasarana pendidikan dan keperluan anak-anak mereka untuk belajar adalah merupakan keutamaan mereka.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah bertindak selaras dengan kehendak-kehendak dan permintaan mereka itu dan kita laksanakan dalam tempoh jangka masa yang lama bukan hanya untuk tempoh tertentu sahaja,” kata beliau lagi.
Terdahulu, beliau telah menyampaikan anugerah kepada hampir 400 pelajar berbangsa India yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2013 dan 2014 serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.



No comments:

Post a Comment