Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Saturday 27 December 2014

Banjir Di Perak Bukan Disebabkan Empangan TNB



Kejadian banjir yang berlaku di kawasan di perak bukan disebabkan tindakan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) melepaskan air daripada empangan di Sungai Perak, seperti yang menjadi viral di dalam media sosial.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, banjir yang berlaku adalah disebabkan oleh hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu di kawasan Hulu Perak, yang menyebabkan paras air di empat empangan di sungai itu melepasi tahap maksima.
Menurut beliau, hujan lebat yang turun, tidak pernah berlaku sejak 30 tahun lalu yang telah menyebabkan limpahan air di empat empangan yang terdapat di Hulu Sungai Perak.
Katanya, kewujudan empat empangan tersebut, iaitu Empangan Temengor, Bersia, Kenering dan Chenderoh yang juga untuk menjana tenaga elektrik bagi TNB, sebenarnya telah menghindarkan berulangnya kejadian banjir buruk seperti yang pernah berlaku pada tahun 1974 sehingga menenggelamkan bandar Kuala Kangsar.
Beliau memberitahu, apabila paras air di empangan mencecah tahap maksima, pihak TNB terpaksa melepaskan air bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku.
Mereka melepaskan air dalam keadaan terkawal, tidak boleh lepas begitu saja dan saya telahpun mendapat taklimat daripada TNB semalam, mereka memaklumkan sebarang pelepasan air dilakukan dengan berhat-hati, dengan mendapatkan pandangan daripada pakar mereka,” katanya.
Beliau ditemui selepas melawat beberapa dua pusat pemindahan banjir di Sungai Siput dan Kuala Kangsar pada Rabu.
Turut hadir semasa lawatan di Sungai Siput ialah ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun manakala Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Rusnah Kasim serta ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman hadir ketika lawatan di Kuala Kangsar.
Dr. Zambry berkata, tanggungjawab kerajaan negeri adalah untuk memastikan pengurusan krisis seperti ini, pengurusan bencana seperti ini dapat kita laksanakan dengan sebaik-baiknya.
Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan sepanjang Sungai Perak supaya berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar.
Beliau turut menasihatkan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan supaya bersabar menghadapi dugaan di samping menjaga kesihatan.
Sehingga jam 2 petang rabu, seramai 1,436 mangsa banjir telah dipindahkan ke 18 pusat pemindahan banjir di seluruh Perak.

Daripada jumlah itu, 899 adalah dari kawasan Sungai Siput, 352 di Kuala Kangsar dan bakinya di Lenggong dan Ipoh.

No comments:

Post a Comment