Pemimpin Berjiwa Rakyat

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Sunday 4 January 2015

Dr Zambry Tempelak DAP Perak Cuba Raih Politik Murahan



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menempelak DAP Perak yang menuduh beliau sebagai sombong, tidak ada perasaan dan tidak berhati perut hanya kerana dakwaan kononnya kerajaan Perak menolak sumbangan RM100,000 daripada kerajaan Selangor.
Sambil menyifatkan tuduhan-tuduhan itu sebagai sangat biadap, Dr Zambry berkata, parti itu cuba meraih politik murahan ketika rakyat mengalami kesulitan dan keresahan kerana banjir.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah menolak sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membantu rakyat di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali kerana mengesahkan bahawa sumbangan itu telah diterima oleh kerajaan negeri.
"Terima kasih kepada Azmin kerana membetulkan kenyataan yang tidak sewajarnya sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kayan, Manjung pada Jumaat.
Dr Zambry perkata, tuduhan yang dibuat Setiausaha Politik kepada Pengerusi DAP Perak, Chong Ze Min kepadanya adalah sangat kurang ajar dan cuba mengambil kesempatan ketika rakyat ditimpa kesulitan.
"Ini jenis ahli politik yang bankrap, dalam kepala mereka terlalu banyak politik, apa sahaja hendak dipolitikkan.
"Rakyat sedang susah, menderita, mereka tuduh saya sombong, tidak ada perasaan. "Sudah dua minggu, kita berulang-alik dari Hulu Perak hingga ke Hilir Perak untuk meninjau keadaan banjir dan melihat masalah rakyat," tegas beliau.
Dr Zambry berkata, tumpuan sekarang sepatutnya kepada usaha untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir, bukannya untuk mencari kepentingan politik murahan.
Menurut laporan portal Malaysiakini hari ini, Azmin menjelaskan kerajaan Perak menerima sumbangan RM100,000 yang diberikan bagi bantuan banjir. Azmin bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu berhubung laporan yang mengatakan kerajaan negeri Perak menolak wang sumbangan tersebut.
"Saya tidak tahu menahu. Cek untuk kerajaan negeri Perak telah pun diserahkan dengan tangan kepada Pejabat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry "Dan pejabat Menteri Besar telah pun mengesahkan penerimaan cek. Itu sahajalah.
"Saya tidak ada maklumat itu (cek ditolak) kerana faktanya ialah cek sudah pun diserahkan kepada pejabat menteri besar. Ada cop pengesahan penerimaan dan saya percaya bantuan ini akan dimanfaatkan untuk mangsa banjir di Perak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kerajaan negeri dan anak syarikat kepada mangsa banjir di bangunan Setiausaha Negeri Selangor (SUK) di Shah Alam hari ini.
Selain itu, ketika ditanya bila cek tersebut diserahkan, Azmin berkata: "Dalam awal minggu ini".

Semalam, exco hal kebajikan Selangor, Dr Daroyah Alwi kesal kerana kerajaan Perak enggan menerima sumbangan RM100,000 untuk mangsa banjir. 

No comments:

Post a Comment