SEGARI:
Mana-mana pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan atau
memberi kelulusan kepada sesuatu projek di negeri Perak haruslah
memikul amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya-sebaiknya.
Menteri
Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tanggungjawab itu
perlu digalas dengan jujur dan ikhlas bagi memastikan tiada rakyat
tertindas kerana banyak projek yang dilaksanakan melibatkan keperluan
masyarakat setempat.
Katanya,
mana-mana penjawat awam di negeri itu atau pihak yang berkenaan perlu
memberi perhatian serius terhadap permohonan yang dikemukakan bagi
mengelak ia dipersoalkan oleh rakyat.
“Apabila
sesebuah projek itu dilaksanakan, kita mahu ia dapat disiapkan pada
jangka waktu yang telah ditetapkan.
“Tidak
perlu dilewatkan atau sengaja dilewatkan dengan alasan serta
faktor-faktor tertentu.
“Saya
dapati ada satu projek besar berkaitan kepentingan rakyat yang telah
pun diluluskan di peringkat Kerajaan Negeri tetapi masih belum
dilaksanakan lagi.
“Pelbagai
alasan diberi dan sudah tiga tahun projek itu terbengkalai begitu
sahaja,” katanya kepada media selepas melawat tapak projek
pembinaan masjid di Kampung Batu Tiga di sini, hari ini.
Beliau
juga mengingatkan agar tiada pihak mengambil kesempatan dengan
menggunakan jawatan yang dipegang bagi tidak melaksanakan arahan yang
diberikan oleh Kerajaan Negeri.
“Selain
itu, kita dapati ada fail-fail yang telah pun dimohon oleh pemohon
tetapi dibiarkan begitu lama tanpa diproses.
“Urusan
seperti ini perlu dipercepatkan bukan dilambatkan kerana rakyat
mempunyai kepentingan dan kita tidak boleh biar mereka tunggu
sehingga setahun.
“Saya
juga dapati ada satu tempat yang mana ketuanya menemui ratusan fail
permohonan yang terbengkalai tanpa diproses.
“Walhal
perkara tersebut boleh diluluskan dalam jangka waktu yang pantas dan
ini tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Jelasnya,
perbuatan tersebut akan menjadi satu penyebab rakyat mempersoalkan
kepantasan sesebuah kerajaan meluluskan sesuatu projek pembangunan.
Selain
itu, beliau berkata, arahan itu perlu dipatuhi bukan hanya di
peringkat jabatan kerajaan tetapi juga pihak pelaksana dan Pejabat
Menteri Besar.
“Arahan
ini bukan sahaja tertumpu kepada satu pihak sahaja tetapi melibatkan
semua pihak termasuklah diri saya sendiri,” kata beliau lagi.
No comments:
Post a Comment