Semua
sekolah yang digunakan sebagai pusat penempatan mangsa banjir di
Perak telah ditutup sepenuhnya pada Ahad lepas dan boleh digunakan
semula bagi tujuan sesi persekolahan.
Ketua
Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri Perak,
Rozi Puteh Ismail berkata, semua murid dan pelajar kini boleh
memulakan sesi pembelajaran mereka yang tertangguh dan kembali ke
sekolah seperti sediakala.
“Berdasarkan
laporan daripada setiap pejabat pendidikan daerah, semua sekolah
telah mula beroperasi 100 peratus bermula pada hari Isnin dan kami
berasa lega kerana ramai pelajar sudah tidak sabar untuk memulakan
rutin persekolahan mereka,” katanya kepada pemberita.
Beliau
berkata demikian ketika ditemui membuat tinjauan di SMK Sultan
Muzaffar Shah I, Lambor Kanan pada pagi Isnin. SMK Sultan Muzaffar
Shah yang menempatkan lebih daripada 700 mangsa banjir telah ditutup
pada Ahad.
Menurut
Rozi, pihaknya juga telah menyediakan sebuah pasukan bantuan
kaunseling yang dikenali sebagai Smart Support Team (SST) untuk
memberi khidmat nasihat dan sokongan kepada pelajar yang mengalami
trauma akibat daripada banjir.
Jelasnya,
setakat ini kesemua pelajar dilihat bersemangat untuk kembali ke
bangku sekolah dan girang ditemani rakan-rakan setelah sekian lama
sesi persekolahan mereka tertangguh.
Dalam pada
itu, pengetua sekolah, Juriah Ismail berkata, terdapat beberapa
kerosakan dari segi keperluan asas sekolah tersebut berikutan
penggunaannya sebagai pusat penempatan banjir.
“Biasalah,
apabila 700 orang datang dan menetap di sini memang keadaan akan jadi
kotor dan kita perlu susun semula bangku dan meja di setiap kelas.
“Namun
syukur alhamdullilah, berkat bantuan masyarakat yang prihatin, kita
telah menjalankan gotong-royong sebanyak tiga kali dan Lembaga Air
Perak (LAP) serta Indah Water turut datang menyelesaikan masalah
tandas tersumbat,” katanya lagi.
Juriah
berkata, pihaknya telah mengagihkan buku teks dan peralatan sekolah
kepada semua pelajar di sekolah tersebut yang terlibat dengan banjir
dan berharap mereka akan tabah menghadapi dugaan ini.
Salah
seorang pelajar Tingkatan Satu, Yusoff Ahmad Ismail yang berasal dari
Kampung Rimba Raja berkata, pengalaman musibah banjir ini membuka
matanya terhadap pengorbanan ayahnya dalam membesarkan mereka.
"Sedih
saya tengok ayah sebab mak dah tiada, ayah yang sara kami 7 beradik,
gaji ayah tak banyak, tapi sebab baju dah tenggelam masa banjir ayah
tak bising, beli lagi baju untuk kami.
"Saya
janji, saya akan belajar tinggi-tinggi bagi ayah bangga, banyak
sangat yang ayah bagi kepada kami semua," katanya yang dilihat
masih boleh tersenyum di sebalik kesedihan tersebut.
No comments:
Post a Comment